Notis 21 AKHAP 2011 dihantar kepada semua penternak ayam


ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu berkaitan kenaikan harga ayam sejurus tamat perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) seperti yang dilaporkan di media tempatan, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pembekal, peniaga dan pengguna berhubungan isu berkenaan.

Menurutnya, apa jua keputusan dan tindakan yang diambil oleh kerajaan sentiasa seimbang untuk semua pihak berdasarkan kepada kaedah menang-menang.

"KPDNHEP telah mengadakan sesi libat-urus dengan lima syarikat penternak ayam baru-baru ini untuk mendapatkan pandangan dan input di lapangan yang mempengaruhi harga ayam di pasaran terkini.

"KPDNHEP telah mengeluarkan Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada semua penternak bagi mendapatkan maklumat dalam mengesan rantaian bekalan sebelum tiba kepada peniaga dan pengguna.

"Kementerian juga sentiasa mendapatkan data terkini di mana saya, timbalan saya dan pegawai tinggi kementerian sendiri turun padang mendapatkan input dari peniaga dan pengguna yang kami temui di pasar awam dan pasar raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP menggerakkan lebih 1,000 pemantau harga yang mengumpul harga barangan asas termasuk ayam setiap hari di seluruh negara di mana daftar harga tersebut boleh diperoleh dari aplikasi Price Catcher.

Di samping itu katanya, seramai 2,300 pegawai penguat kuasa turut memantau dan memeriksa premis perniagaan termasuk bekalan dan harga ayam di kedai runcit, pasar awam dan pasar raya serta bertindak terhadap aduan pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan kepada kajian Bahagian Harga Barang Negara, KPDNHEP dan data harga ayam yang dikumpul selama 10 tahun serta pemantauan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP mendapati bahawa harga ayam turun naik berdasarkan permintaan dan bekalan.

"Kenaikan selepas SHMMP didapati dipengaruhi daripada bekalan yang terhad selepas permintaan yang menguncup dan terjejas akibat PKP selama lebih dua bulan di mana premis perniagaan, restoran, hotel dan majlis keraian tidak boleh beroperasi," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, harga ayam yang turun naik berlaku kerana bekalan terhad adalah fenomena sementara dan dijangka pulih dalam sedikit masa lagi.

Katanya, kementerian akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan di bawah kuasa dan peruntukan akta yang diberikan jika perlu.

"KPDNHEP ingin menasihatkan semua pemain industri, pemborong dan peniaga agar bersikap adil dan tidak mengambil kesempatan.

"Pengguna dinasihatkan agar membuat perbandingan harga ayam dan barang keperluan pengguna melalui aplikasi Price Catcher sebelum berbelanja," katanya.