X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh tokan ketum ditahan

Noorzainy (tengah) menunjukkan bungkusan ketum yang dirampas.
A
A

KEPALA BATAS - Tujuh lelaki yang aktif dengan kegiatan memproses dan mengedar air ketum di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini ditahan dalam lima serbuan yang dilakukan polis sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat penduduk kampung tentang aktiviti kumpulan berkenaan yang giat menjalankan operasi mereka walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah pondok dekat kawasan tepi laut Kuala Muda, Penaga kira-kira jam 7.30 malam dengan menahan seorang nelayan.

“Susulan penahan lelaki berkenaan polis melancarkan serbuan di sebuah rumah di Jalan Padang Serai, Kampung Besar, Tasek Gelugor dan menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan diteruskan dengan penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun di Kampung Jarak Atas pada jam 1 tengah hari semalam, serbuan keempat pula melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan di Pokok Tampang tidak jauh dari lokasi serbuan ketiga pada jam 2 petang manakala serbuan terakhir melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun di Lahar Tambun pada jam 3 petang.

Katanya, hasil serbuan tersebut, polis merampas 86 kilogram (kg) daun ketum, 920 bungkus atau 230,000 milimeter (ml) air ketum dan 1,080ml ubat batuk.

Selain itu turut dirampas ganja seberat 0.5 gram serta pelbagai peralatan memasak ketum antaranya periuk dan tong gas dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM7,000.

“Tujuh suspek yang ditahan, empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau yang dahulunya pernah ditahan atas kesalahan sama tetapi tetap tidak serik apabila mengulangi perbuatan lama," katanya.

Noorzainy berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 22 hingga 48 tahun direman selama empat hari hingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!