'Bertaubatlah kamu, jangan ulangi lagi...'

Tertuduh wanita diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh wanita diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM1,800 kepada 13 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kemaman atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan bayaran sewa hotel dan perjalanan bernilai RM2,254.65 pada tahun 2018.

Bukan itu sahaja, kesemua tertuduh yang berusia antara 28 hingga 49 tahun itu turut berdepan hukuman penjara antara lima dan enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Jamaludin Mat selepas semua tertuduh yang terdiri daripada penolong pegawai pertanian, pembantu tadbir dan pembantu operasi mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh yang masing-masing berjawatan Gred N11 hingga Gred G32 dan W32 didakwa membuat tuntutan palsu berkait bayaran sewa hotel dan perjalanan dalam negeri serta kesalahan pemalsuan bernilai antara RM20 hingga RM380.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Risda Kemaman pada Mac dan April 2018.

Sebahagian daripada tertuduh lelaki sambil diiringi pegawai SPRM
Sebahagian daripada tertuduh lelaki sambil diiringi pegawai SPRM

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 seksyen sama.

Terdahulu dalam penghakimannya, Jamaludin meminta kesemua tertuduh bertaubat dan jangan mengulangi kesalahan yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Jangan kerana desakan hidup, kamu sanggup bagi anak-anak makan duit haram. Walaupun jumlahnya kecil tapi ini membabitkan integriti penjawat awam dan sebagai ibu atau bapa, kamu sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Yasmin Salleh.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pengurus resort, Esa Suleiman Angullia, 59, didenda RM6,000 atas pertuduhan bersubahat apabila menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu resit resort berkenaan bertarikh 28 Mac di sebuah resort di Marang.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh Nik Hafiza Nik Hassan, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama membabitkan tuntunan bernilai RM85 sebelum mahkamah menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000.