Bekas CEO yayasan berpangkat Datuk ditahan SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah yayasan berpangkat Datuk ditahan kerana disyaki menyalah guna kedudukan dan jawatan untuk melantik syarikat miliknya bagi penganjuran sebuah program kayuhan pada 2016, hari ini.

Suspek berusia lingkungan 60-an yang juga bergelar profesor itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya ketika hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang ketika itu memegang jawatan CEO yayasan terbabit telah melantik syarikat miliknya sebagai rakan strategik bagi menganjurkan sebuah program kayuhan di utara tanah air itu dengan kos berjumlah melebihi RM150,000.

Pengarah SPRM Putrajaya, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009)," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan: