PRK DUN Chini: Mohd Shukri ajak dua calon berdialog

Mohd Shukri meluangkan masa menyantun pengundi Chini Felda Chini 5.
Mohd Shukri meluangkan masa menyantun pengundi Chini Felda Chini 5.
A
A
A

PEKAN - Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli mengajak dua lagi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini untuk menyertai sesi dialog yang akan disiarkan secara siaran langsung di laman sosial.

Menurutnya, kaedah itu amat sesuai memandangkan negara ini masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Moh Shukri berkata, program itu dirancang bagi membolehkan semua calon membentangkan hala tuju mereka kepada semua warga Chini jika dipilih sebagai wakil rakyat.

"Saya mahu anjur sesi dialog ini...itu pun kalau calon Barisan Nasional, Mohd Shahrim Md Zain dan seorang lagi calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin berani dan mahu menyertai," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, beliau tidak gemar istilah debat digunakan kerana matlamat menjadi wakil rakyat bukan berdebat sebaliknya membantu rakyat yang susah.

“Kita hendak bantu rakyat susah bukan hendak berdebat, kita sepatutnya berbincang bagaimana cara hendak bantu rakyat.

"Jadi sebab itu dua calon bertanding dialu-alukan untuk bersama bersiaran langsung di media sosial," katanya.

Ditanya mengenai kempen yang diadakan, Mohd Shukri berkata, risalah kempennya akan diedarkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membantu bagi menggerakkan kempen bagi mewakilinya.

"Kempen ini akan menumpukan kepada semua pengundi tanpa mengira latar belakang politik," katanya.