Pastikan RM100 juta dimanfaatkan sepenuhnya

Waytha Moorthy hadir meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, malam tadi.
Waytha Moorthy hadir meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, malam tadi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan baharu akan memastikan peruntukan RM100 juta kepada masyarakat India dapat dinikmati sepenuhnya sampai ke akar umbi berbanding sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, Unit Transformasi Masyarakat India yang telah dijenamakan sebagai Mitra akan memastikan dana yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India ditadbir urus dengan cekap, efisyen dan telus.

Menurutnya, ia bagi memastikan golongan sasar akan menerima manfaat sepenuhnya melalui dana yang disalurkan kerajaan.

"Sebelum ini walaupun terdapat unit ini tetapi masyarakat India tidak dapat menikmati sepenuhnya nikmat dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Tetapi bawah pimpinan kerajaan baharu ini saya akan memastikan wang sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan sampai kepada masyarakat India sehingga ke akar umbi," katanya ketika hadir meraikan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam Sungai Petani, malam tadi.

Mitra yang sebelum ini dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai peranan amat penting dalam memastikan pembangunan sosioekonomi masyarakat India dalam sektor ekonomi, pendidikan dan sosial diberi perhatian.

Katanya, unit berkenaan juga akan merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan aktiviti untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi terutama golongan B40.

Dalam pada itu, katanya, sambutan Thaipusam yang memperkenalkan budaya dan adat resam masyarakat India disambut baik tanpa sebarang kekecohan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Keselamatan baik tiada apa-apa insiden yang boleh menimbulkan kekecohan kerana kita telah sekian lama menyambut Thaipusam macam di kuil ini dah lebih 100 tahun dan Batu Caves, Selangor sudah sambut 129 tahun.

"Dalam masa sama, perayaan ini telah diterima semua kaum dan penglibatan lain-lain kaum dan agama termasuk pelancong dari Eropah dan India yang minat untuk mengetahui tentang Thaipusam telah datang dan memeriahkannya.

"Saya rasa ia petanda baik bagi mengeratkan hubungan pelbagai kaum dan agama di negara kita.

"Ini juga jelas menunjukkan negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang membolehkan rakyat bebas beragama pada semua pihak," katanya.