Banteras rasuah untuk hentikan perdagangan haram

Akhbar Satar
Akhbar Satar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdagangan haram yang menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berjuta-juta ringgit dari segi kutipan cukai hanya dapat dikekang sekiranya amalan rasuah dapat dibanteras sepenuhnya, kata penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.

Beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia berkata, perdagangan haram sama ada dadah, rokok, produk cetak rompak atau juga manusia berlaku akibat amalan rasuah melibatkan segelintir penguat kuasa itu sendiri.

Akibatnya, kata beliau, hasil-hasil haram daripada aktiviti seumpamanya akan digunakan pula untuk membiayai aktiviti rasuah dan jenayah pada skala yang besar dan luas.

"Kitaran ganas ini bukan saja mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian berbilion ringgit dari segi hasil, bahkan menyebabkan kerosakan kepada kesihatan rakyat Malaysia dan menjejaskan prestasi perniagaan-perniagaan yang sah,’’ katanya dalam satu kenyataan akhbar sempena Hari Antarabangsa Memerangi Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram pada 26 Jun ini.

Tema bagi Hari Antarabangsa Memerangi Penyalahgunaan Dadah dan Perdagangan Haram 2020 ialah 'Pengetahuan Lebih Baik Untuk Kesejahteraan Lebih Baik' kerana dengan pengetahuan akan dapat menjalin kerjasama antarabangsa yang lebih baik dalam memerangi impaknya ke atas kesihatan, tadbir urus dan keselamatan.

Menurut Akhbar, negara kerugian RM5 bilion hingga RM7 bilion setahun disebabkan oleh kegiatan penyeludupan rokok sedangkan ketirisan sejumlah wang yang banyak ini boleh digunakan untuk pembangunan atau diberikan pada rakyat.

"Bayangkan jumlah wang yang diraih oleh sindiket jenayah daripada pengedaran rokok haram ini. Jumlah sogokan yang besar menyebabkan sebahagian penguat kuasa itu sendiri gelap mata sehingga mengetepikan integriti mereka," katanya.

Daripada segi cara penyelesaian, Akhbar berkata, peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang baharu sahaja dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu adalah langkah yang betul.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut akta ini, organisasi komersial kini tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan seandainya kakitangan atau sekutu mereka terlibat di dalam jenayah rasuah.

"Akta ini juga menggalakkan perniagaan untuk beroperasi dengan integriti, bebas daripada rasuah dan mempromosikan amalan tadbir urus baik dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelak rasuh dalam organisasi mereka,’’ jelasnya.

Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Dalam erti kata lain, bukan sahaja organisasi komersial boleh disabitkan atas kesalahan rasuah yang dilakukan oleh orang yang dikaitkan dengannya tetapi turut merangkumi kakitangan atau orang tengah tetapi bebannya kini beralih terhadap organisasi komersial termasuk pengurusan kanan syarikat semasa berlakunya jenayah rasuah, akan dianggap secara persendirian turut melakukan kesalahan.

"Syarikat-syarikat yang terbabit di dalam penyeludupan rokok haram, sila ambil perhatian!” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan baharu Seksyen 17A tidak bermakna sektor swasta menanggung bebas sepenuhnya ke atas perlakuan rasuah kerana rasuah adalah masalah endemik yang mesti dibanteras menerusi usaha kolektif oleh semua segmen masyarakat termasuk penggubal-penggubal dasar, agensi-agensi penguatkuasaan, agensi-agensi awam, perniagaan persendirian dan orang awam.

"Kedua-dua pemberi dan penerima rasuah adalah bertanggungjawab. Hanya dengan itu kita boleh menangani permasalahan seperti perdagangan haram ini secara berkesan,” katanya.

Tambahnya, penyelesaian lain bagi memerangi amalan rasuah berkaitan perdagangan haram adalah termasuk menggunakan teknologi maju yang dimiliki pegawai-pegawai penguatkuasaan yang boleh dipercayai untuk memantau laluan-laluan penyeludupan dan menempatkan pegawai di sesuatu lokasi mengikut sistem giliran.

"Sokongan rakyat dalam menyalurkan maklumat dan tindakan terhadap ke atas syarikat-syarikat yang terbabit di dalam pengedaran rokok haram termasuk di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 serta mewujudkan dasar-dasar yang memperkasakan pegawai pencegahan rasuah di dalam melaksanakan tugas mereka dapat menyelesaikan masalah ini," katanya.