Masjid angkat di Negeri Sembilan

Aminuddin (dua, kiri) ketika sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kariah Paroi Jaya, kelmarin.
Aminuddin (dua, kiri) ketika sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kariah Paroi Jaya, kelmarin.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri bakal memperkenalkan program masjid angkat, dalam usaha mengimarahkan lagi aktiviti masjid yang berada di kawasan luar bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, melalui program ini mana-mana masjid di kawasan bandar yang berkemampuan, akan mengambil masjid luar bandar sebagai masjid angkat untuk diberikan bantuan sokongan.

Menurutnya, dalam masa yang sama, kerajaan negeri juga melalui jabatan berkaitan akan membantu sebarang keperluan yang diperlukan.

“Kita tahu (antara) masalah dihadapi masjid luar bandar, khususnya membabitkan soal kewangan untuk mereka mengadakan program.

“Kalau tak dibantu oleh masjid-masjid yang berkemampuan di bandar, maka keupayaan mereka untuk melaksanakan aktiviti bagi mengimarahkan masjid adalah terhad.

“Nak bayar bil api (elektrik) dan air pun kadang-kadang tak cukup, jadi masjid di bandar harus lebih proaktif membantu masjid di luar bandar, agar mereka dapat anjurkan aktiviti dan mengimarahkan masjid dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kariah Paroi Jaya, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Datuk Mohamed Husein dan pendakwah, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany.

Artikel Berkaitan:

Jelas Aminuddin, melalui kaedah tersebut pembangunan terhadap institusi masjid luar bandar dapat diimbangkan secara menyeluruh.

Katanya, Mains akan mengenalpasti mana-mana masjid di luar bandar yang memerlukan sokongan untuk diambil sebagai masjid angkat.

“Bagi masjid di kawasan bandar, kita telah pun kenal pasti yang mana berkemampuan boleh bantu masjid luar bandar ini untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan untuk mengimarahkan masjid.

“Perlaksanaan ini bukan hanya di masjid daerah yang sama, sebaliknya boleh melibatkan bantuan masjid daripada daerah lain juga,” katanya.

Katanya, antara bantuan yang boleh diberikan seperti bantuan kewangan dan sukarelawan, misalnya majlis gotong-royong di kawasan pedalaman bagi memastikan masjid sentiasa dalam keadaan ceria dan selesa.

“Harapan kita mahu melihat semua institusi masjid di negeri ini membangun secara seimbang tanpa melihat sebarang perbezaan kawasan,” katanya.