Jenazah anggota TLDM maut, selamat dikebumikan

Balu Allahyarham Laskar Kanan PAP Maslim Abd Halim, Nurfaizah Mohd Pagal tidak dapat menahan kesedihan ketika merenung pusara suaminya yang selamat dikebumikan di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan hari ini. - Foto Bernama
Balu Allahyarham Laskar Kanan PAP Maslim Abd Halim, Nurfaizah Mohd Pagal tidak dapat menahan kesedihan ketika merenung pusara suaminya yang selamat dikebumikan di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEMPORNA - Jenazah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Allahyarham Laskar Kanan PAP, Maslim Abdul Rahim, 35, selamat dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan termasuk kawalan kehormatan jenazah, di tanah persendirian keluarga di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham selesai dikebumikan pada 11 pagi, dan sebelum itu urusan solat jenazah dan bacaan tahlil diadakan di rumah keluarga isterinya.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga, sepanjang proses pengebumian berlangsung.

Terdahulu, jenazah tiba di pekarangan rumah keluarga isteri, dengan van jenazah milik TLDM KD Sri Semporna pada 10.08 pagi.

Jenazah Allahyarham diterbangkan ke Semporna, jam 8.05 pagi menggunakan helikopter EC 725 milik Tentera Udara Malaysia dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu Terminal 2, Sabah.

Jenazah Laskar Kanan PAP Maslim Abd Halim diusung dengan penuh istiadat ketenteraan untuk dikebumikan di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan hari ini. - Foto Bernama
Jenazah Laskar Kanan PAP Maslim Abd Halim diusung dengan penuh istiadat ketenteraan untuk dikebumikan di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan hari ini. - Foto Bernama

Hadir memberi penghormatan terakhir, Panglima Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali dan Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Ahmad Nazree Abu Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga anggota TLDM maut nahas

Artikel Berkaitan:

Dua lagi jenazah anggota TLDM dibawa pulang ke kampung

Maslim dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan antara tiga mangsa nahas dalam kemalangan jalan raya Ranau-Tamparuli yang berlaku jam 1.03 tengah hari, Selasa lepas.

Kemalangan itu turut mengorbankan dua lagi anggota iaitu Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dari Kluang, Johor dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris dari Melaka, manakala yang cedera ialah Laskar Kelas II TLR Vincent M. Orel, 24 tahun.

Sementara itu, rakan baik Maslim iaitu Hariyanto Made yang turut berkhidmat di TLDM Sandakan berkata sehari sebelum kejadian Allahyarham berperangai pelik apabila tiba-tiba suka untuk berswafoto.

"Arwah seorang dermawan, bukan seorang yang suka bergambar tetapi pada hari itu (Isnin) banyak gambar swafoto kami ambil," katanya sambil menunjukkan gambar-gambar swafoto terakhir bersama Maslim di telefon pintarnya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nur Faizah Mohd Pagal, 35, dan seorang anak perempuan, Nur Quratul Ain, 5 tahun. - Bernama