1MDB: Dalam akaun Kasitah itu duit pencen, kata peguam

Kasitah berada di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bagi menghadiri prosiding kes berhubung wang yang disita SPRM kerana didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
Kasitah berada di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bagi menghadiri prosiding kes berhubung wang yang disita SPRM kerana didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bahawa wang RM100,000 yang diterima oleh bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam merupakan wang pencen bukan hasil aktiviti haram.

Peguam, Sasila Basri yang mewakili Kasitah berkata, terdapat afidavit menunjukkan anak guamnya menerima hasil pendapatan yang sah, sejak awal persaraannya pada 2004.

Setahun sahaja katanya, wang pencen yang disimpan dalam akaun Bank CIMB milik Kasitah adalah melebihi RM100,000.

Beliau berkata, ia dibuktikan menerusi kemasukan pencen yang dieksibitkan bermula 2010 sehingga melepasi 2012, bagi menunjukkan bahawa wang itu adalah milik responden.

“Untuk rekod, responden merupakan seorang pesara kerajaan malah beliau merupakan bekas menteri dalam Kabinet Malaysia.

“Jelas ia menunjukkan, wang dalam akaun itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa akaun ini diwujudkan untuk wang pencen, bukannya untuk menerima wang haram atau hasil aktiviti haram sebagaimana yang didakwa oleh pasukan pemohon,” katanya dalam prosiding perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, hari ini.

Bagaimanapun Sasila berkata, tidak dinafikan anak guamnya menerima wang RM100,000 daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Mei 2012 namun ia digunakan untuk perjalanan pilihan raya yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Berdasarkan fakta yang ditunjukkan sebelum ini, pihaknya memohon permohonan melucut hak ini ditolak kerana ia menyebabkan prejudis kepada anak guamnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Haslinie Hashim yang mewakili pendakwa raya selaku pemohon berkata, disebabkan kemasukan wang daripada Najib, menyebabkan responden (Kasitah) dapat membuat simpanan dalam akaunnya.

Menurutnya, wang itu kononnya digunakan untuk perjalanan pilihan raya dan dikatakan digunakan oleh responden pilihan raya setahun kemudian, namun tiada bukti kukuh bahawa ia berlaku dan tiada afidavit sokongan dimasukkan oleh responden.

“Jika pihak responden dakwa kononnya wang berkenaan sudah digunakan, namun mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan satu perintah kewangan mengikut Seksyen 59 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

“Ia merujuk kepada perintah yang mengkehendaki responden untuk membayar semula wang itu kepada kerajaan dan perintah penalti bahawa amaun itu sama dengan yang diterimanya,” katanya.

Bukan itu sahaja beliau berkata, ia juga berdasarkan dakwaan terhadap Najib di mahkamah melalui tuduhan pengubahan wang haram.

Maka katanya, ia sudah mencukupi untuk menunjukkan bahawa satu kesalahan predikat sudah berlaku bagi permohonan untuk melucut hak harta berkenaan.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan untuk keputusan bagi kes tersebut.

Pada 21 Jun tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang daripada 41 responden berjumlah RM270 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.