Inilah gaya sebenar Manchester United

Martial tunjang kemenangan The Red Devils ke atas The Blades.
Martial tunjang kemenangan The Red Devils ke atas The Blades.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji karakter dipamerkan barisan pemain The Red Devils ketika menewaskan Sheffield United 3-0 di Stadium Old Trafford, awal pagi tadi.

Menurut pengendali dari Norway itu, anak-anak buahnya telah menjelmakan gaya permainan Manchester United sebenar pada perlawanan berkenaan selepas seri menentang Tottenham Hotspur sebelum ini.

"Inilah gaya sebenar Manchester United dengan barisan depan agresif memberi tekanan sejak perlawanan bermula. Semuanya bekerja keras, menyerang dan bertahan dengan sempurna sekali gus mendominasi perlawanan ini.

"Pemain-pemain juga memberikan sepenuh fokus sepanjang tempoh perlawanan bagi menekan pasukan pelawat. Ya, kali ini pemain fokus dari awal sampai akhir berbanding perlawanan sebelumnya.

"Biarpun kami sudah begitu unggul pada babak pertama, tapi perlawanan belum selesai dan pemain mengetahui yang mereka perlu terus menjaringkan lebih banyak gol itu.

"Penguasaan Manchester United dibuktikan apabila pasukan pelawat (Sheffield United) hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke sasaran saja bukan?" Jelas Solskjaer.

Pada aksi itu, penyerang muda sensasi The Red Devils, Anthony Martial meledak hatrik dengan gol pada minit ketujuh, 44 dan 74 sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah gergasi liga Inggeris berkenaan dalam 13 perlawanan terakhir.

Gol pada babak kedua itu juga membolehkan pemain Perancis berkenaan menjadi pemain The Red Devils pertama yang meledak hatrik dalam saingan liga sejak Alex Ferguson bersara pada 2013.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu membolehkan skuad Solksjear mengumpul 49 mata selepas mengharungi 31 perlawanan untuk berada pada kedudukan kelima liga.

Manchester United kini terus memberikan tekanan kepada kelab tangga keempat Chelsea yang akan berdepan Manchester City dalam pemburuan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pada masa sama bekas pemain The Red Devils itu memuji peningkatan tindakan penyudah Martial yang disifatkan sebagai duri dalam daging kepada The Blades pimpinan Chris Wilder berkenaan.

"Sesungguhnya Martial memainkan peranan penting dalam memacu kelab untuk kemenangan berharga ini sekali gus membuktikan segala usaha keras dia di padang latihan berbaloi.

"Saya berpuas hati dengan persembahannya hari ini dan berharap dia dapat mengekalkan untuk baki perlawanan seterusnya," katanya sambil mengakui akan terus memperbaiki situasi pemain apabila berada dalam kotak penalti.