'Tak sangka kata-kata saya itu dianggap satu pinangan'

Siti Hajar selamat disatukan dengan suaminya, Muhammad Syarafi pada 22 Februari lalu.
Siti Hajar selamat disatukan dengan suaminya, Muhammad Syarafi pada 22 Februari lalu.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang guru perempuan tidak menyangka gurauannya 'ajak bercinta' di ruang komen Facebook milik seorang peguam Syarie 'menjadi' apabila mereka akhirnya sah disatukan pada 22 Februari lalu.

Siti Hajar Anis Ramali, 28, dari Selangor berkata, gurauan dan usik-mengusik yang ditujukan sebelum ini dianggap serius oleh suaminya, Muhammad Syarafi Mohd Salleh, 29, yang berasal dari Pahang sehingga membawa mereka berdua ke jinjang pelamin.

"Suami pernah memuat naik gambar kami bersama pengantin, juga merupakan sahabat saya. Saya sempat lagi bergurau di ruang komen akaun Facebook miliknya.

"Tidak sangka pula suami anggap kata-kata saya itu sebagai satu pinangan. Saya bergurau dengan berkata, 'jadi eh kita dua Rafi?'

"Selepas peristiwa itu, suami mula menggunakan orang tengah yang juga rakan kolej untuk merisik tentang saya," katanya.

Menyulam cinta selama setahun, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk disatukan pada 22 Februari lalu di Kajang, Selangor.

Mengimbau kembali pertemuan mereka, guru bahasa Arab di sebuah sekolah di Batu Pahat memberitahu, mereka bertemu tanpa sengaja di majlis perkahwinan sahabat baik di Banting pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Siti Hajar bersama suaminya, Muhammad Syarafi menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.
Siti Hajar bersama suaminya, Muhammad Syarafi menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.

Berkongsi kenangan manis itu, Siti Hajar berkata, pada awalnya, beliau belum mempunyai perasaan cinta terhadap suaminya.

"Waktu itu saya menjadi pengapit kepada si pengantin.

"Kemudian tidak sangka akan bertemu semula dengan suami di majlis tersebut kerana sebelum ini kami sama-sama menuntut di sebuah kolej di Banting pada 2010. Bila tamat pengajian, semua membuat haluan masing-masing.

"Bagaimanapun ketika bertemu, saya sempat berseloroh dengan suami bertanyakan soal jodoh.

"Suami pun tanya perkara yang sama kepada saya, masa itu kami tiada jawapan lagi kerana masing-masing bujang. Jadi bila lihat kami diam, pengantin dalam nada gurau meminta kami 'bercinta'," katanya.

Sementara itu, menerusi status akaun Facebook Muhammad Syarafi, beliau turut berkongsi keindahan percintaan mereka.

Muhammad Syarafi memberitahu, walaupun Siti Hajar menyakatnya di ruang komen Facebook pada 23 Jun dua tahun lalu namun beliau tidak menganggap kata-kata isterinya sekadar gurauan.

Beliau malah merebut peluang tersebut untuk mengenali Siti Hajar dengan lebih rapat.

"Alhamdulillah, akhirnya disatukan sebagai suami isteri yang sah hasil daripada 'gurauan' si isteri. Jadi kepada mereka di luar sana, tak salah pun bila ada perempuan yang nak mulakan 'conversation' dulu,

"Kalau si lelaki tu sendu sangat macam saya ni, kamu yang perempuan saja pergi mengurat, untung sabut timbul, ya tak?" tulisnya.