X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Arab Saudi sedia AS$4 bilion bantu sektor pelancongan

A
A

RIYADH - Arab Saudi mengumumkan penubuhan sebuah dana pada Ahad lalu bagi meningkatkan pertumbuhan sektor pelancongan yang teruk terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Dana itu dilancarkan sebagai satu bentuk pelaburan dan ekuiti dengan modal permulaan sebanyak AS$4 bilion (RM17.09 blion) serta AS$45 bilion (RM192.26 bilion) dalam bentuk perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani dengan bank-bank tempatan, kata Kementerian Pelancongan negara itu.

Menurut portal berita Saudi Gazette pada 21 Jun lalu, Dana Pembangunan Pelancongan yang telah diluluskan oleh Majlis Menteri-Menteri akan digunakan dengan kerjasama bank-bank pelaburan dan swasta bagi menyokong pembangunan sektor swasta di seluruh negara.

"Dana Pembangunan Pelancongan akan memainkan peranan yang kritikal dalam membangunkan pengalaman sektor pelancongan dan membuka potensi sepenuhnya Arab Saudi sebagai satu destinasi," kata Menteri Pelancongan negara itu, Ahmed Al-Khateeb.

"Pelancaran dana itu buat masa ini adalah kerana sektor pelancongan menghadapi cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini dan merupakan ujian untuk pelabur dan sekor swasta bagi tempoh jangka panjang untuk sektor pelancongan di Arab Saudi," tambahnya,

Dana itu dipengerusikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Muhammad Bin Salman.

Baginda telah meluluskan pelantikan lima anggota lembaga yang akan membawa pengalaman berharga dan kepakaran pelaburan kepada Dana Pelaburan Pelancongan.

Sektor pelancongan menarik minat pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup berjuta-juta rakyat Arab Saudi.

Ahli-ahli lembaga pengarah adalah terdiri daripada Naib Menteri Strategi dan Pelaburan di Kementerian Pelancongan, Puteri Haifa Mohammed Al-Saud; Gabenor Pihak Berkuasa Awam Hartanah, Ihsan Bafakih; Gabenor Dana Pembangunan Kebangsaan, Stephen Groff; anggota Lembaga Pengarah Bank British Saudi, Mohammed Omran AlOmran dan Mohammed Al-Hokal iaitu anggota Lembaga Pengarah Bank Komersial Kebangsaan (NCB).

Pelancaran dana itu adalah sebahagian daripada fasa pertama Strategi Pelancongan Kebangsaan yang menumpukan perhatian terhadap pembangunan dan meningkatkan kemudahan 38 kawasan di tujuh destinasi menjelang tahun 2022.

Menurut portal Middle East Monitor pada 22 Jun lalu, pertumbuan ekonomi Arab Saudi kini terjejas disebabkan oleh perang harga minyak dengan Rusia termasuk pandemik Covid-19 yang menyebabkan penutupan sempadan negaranya.

Malah, urusan ibadat haji juga tidak dibenarkan untuk umat Islam yang berada di luar Arab Saudi.

Urusan ibadat haji itu memberikan pendapatan tahunan yang signifikan ke atas negara tersebut kerana pada tahun lalu sahaja kira-kira 2.5 juta umat Islam mengerjakan haji.

Pada bulan ini, dilaporkan simpanan asing Arab Saudi merosot sebanyak AS$20 bilion (RM85.84 bilion) disebabkan oleh krisis tersebut.

Berikutan pembukaan pelancongan antarabangsa pada tahun lalu, sektor itu telah menjadi salah satu daripada bidang ekonomi yang berpotensi.

Sektor tersebut dijangkakan menyumbang lebih 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding hanya tiga peratus ketika ini.

Sektor pelancongan juga dijangka mencipta lebih satu juta pekerjaan menjelang tahun 2030.

Menurut portal Middle East Monitor, rancangan Arab Saudi untuk membangunkan sektor pelancongan itu adalah selepas ia membuka sektor itu untuk pasaran antarabangsa pada tahun lalu.

Negara itu membenarkan pelancong asing melakukan lawatan dan tidak lagi hanya terhad untuk tujuan melakukan umrah dan haji serta untuk tujuan perniagaan semata-mata. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!