Rebut jawatan PM: Sekadar perang psikologi

Gambar dari kiri: Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir
Gambar dari kiri: Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Isu perebutan jawatan Perdana Menteri sengaja digembar-gemburkan Pakatan Harapan (PH) bagi mewujudkan tanggapan bahawa politik Malaysia kini tidak stabil.

Penganalisis Politik dan Perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, hakikatnya negara berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kekosongan jawatan Perdana Menteri selepas disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pelantikan Muhyiddin diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan selepas mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Kita kena pandang dengan lebih objektif. Jawatan Perdana Menteri bukan khas milik seseorang itu atau diperturunkan seperti harta pusaka.

“Yang digembar-gemburkan, yang nak kita terpengaruh ini ialah perang psikologi kumpulan yang diterajui oleh DAP atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka mahu menggembar-gemburkan seolah-olah negara ini tidak stabil walhal dalam keadaan baik dan Muhyiddin dilantik cara sah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Abdul Halim Sidek
Dr Abdul Halim Sidek

Ketika ditanya mengenai situasi DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang tersepit untuk memilih Dr Mahathir atau Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan jawatan tersebut, Abdul Halim berkata, biarkan sahaja kedua-dua parti itu.

Artikel Berkaitan:

Sebagai ahli politik, katanya, sudah menjadi tugas mereka untuk berpolitik dengan memainkan isu terbabit.

“Ahli politik yang juga ahli Parlimen perlu akur peruntukan undang-undang. Tak boleh kata nak Anwar, Lim Kit Siang atau Dr Mahathir (untuk jawatan Perdana Menteri).

“Adakah mereka dapat majoriti? Sebab itu kita dengar Anwar kata beliau sudah dapat jumlah. Tunjukkan senarai dan bentangkan dalam Parlimen atau berjumpa Yang di-Pertuan Agong, tapi tidak buat.

“Kena ikut prosedur operasi standard (SOP). Sudah tidak ada cerita lantik Perdana Menteri baharu kerana jawatan itu tidak kosong kecuali menyandang letak jawatan, uzur atau meninggal dunia,” ujarnya.