Nasihat Akmal Rizal kepada Luqman

Luqman kini berada pada tahap terbaik untuk mengembangkan masa depan karier bola sepaknya di benua Eropah. Gambar kecil: Akmal Rizal
Luqman kini berada pada tahap terbaik untuk mengembangkan masa depan karier bola sepaknya di benua Eropah. Gambar kecil: Akmal Rizal
A
A
A

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dinasihatkan supaya memberi sepenuh tumpuan kepada perjalanan kariernya bersama KV Kortrijk dalam Liga Belgium tanpa melayan perkara remeh-temeh.

Menurut bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, pemain Selangor 2 itu pada masa ini berada pada tahap terbaik untuk mengembangkan karier bola sepaknya pada tahap tertinggi di benua Eropah.

“Sejujurnya saya pernah bercakap dengan Luqman, keinginan dia untuk bermain di luar negara pun sebenarnya membara dan ini satu petanda yang positif.

“Saya yakin dia akan menjadi pemain yang lebih baik dan cepat matang dalam permainannya sekiranya memanfaatkan peluang beraksi di Eropah, dengan kualiti yang ada pada Luqman sekarang dia mampu pergi lebih jauh pada masa depan.

“Sekiranya Luqman berdepan kekangan jadual perlawanan liga di Belgium untuk mewakili negara pun, saya percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar surat kepada kelabnya bagi memohon perlepasan bagi mewakili skuad negara.

“Namun sekali lagi saya nasihatkan Luqman supaya perlu bijak memanfaatkan setiap peluang, dan pada masa sama tidak perlu memikirkan perkara remeh-temeh yang akan mengganggu karier bola sepaknya pada masa depan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Luqman dinasihatkan supaya memberi sepenuh tumpuan kepada perjalanan kariernya bersama KV Kortrijk.
Luqman dinasihatkan supaya memberi sepenuh tumpuan kepada perjalanan kariernya bersama KV Kortrijk.

Akmal Rizal antara pemain tempatan yang pernah berkelana di Eropah pada 1999 selepas direkrut kelab Ligue 1, RC Strasbourg sebelum dipinjamkan kepada FCSR Haguenau.

Artikel Berkaitan:

Ketika menyarung jersi Les Sandhaas, dia menjaringkan 10 gol dalam 36 perlawanan liga bersama kelab berpangkalan di Stadium Parc des Sports itu.

Pada masa sama bekas pemain berusia 38 tahun yang memulakan karier bola sepak bersama Kedah itu menegaskan, sekiranya Luqman cemerlang bersama KV Kortrijk secara tidak langsung memberi imej positif kepada pemain tempatan lain di negara ini.

“Luqman sebenarnya akan membawa imej produk muda bola sepak tempatan ke pasaran Eropah bermula di Belgium biarpun bermula dengan kelab atau liga bawahan.

“Di sana nanti, Luqman perlu berusaha lebih gigih lagi bagi meraih kepercayaan jurulatih dalam merebut slot kesebelasan utama kerana apabila Luqman mempamerkan prestasi cemerlang di Belgium, saya percaya tempiasnya akan terpalit kepada pemain muda Malaysia lain.

“Percaya atau tidak tentunya pencari bakat kelab-kelab liga Belgium akan ke Malaysia bagi mencari pemain untuk pasaran Belgium atau negara benua Eropah lain," katanya.

Pada masa sama Akmal Rizal tidak menafikan pelbagai cabaran bakal menanti pemain berusia 18 tahun dari Kelantan itu apabila berkelana di luar negara.

Namun tegas bekas pemain kelahiran Jitra berkenaan, itu antara cabaran yang perlu diharungi Luqman sekiranya mahu menjadi pemain bola sepak yang berjaya.

“Persekitaran, budaya, gaya hidup, rakan sepasukan baharu itu realiti antara cabaran yang perlu Luqman hadam untuk suatu tempoh masa bagi membentuk karakter dan jiwa yang lebih kental,” katanya.