Ditahan cuba rasuah polis

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Seorang pemandu lori ditahan selepas cuba merasuah anggota polis dengan menawarkan wang tunai berjumlah RM50 di sekatan jalan raya Kuala Sepetang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 25 tahun yang memandu lori bermuatan kerang itu ditahan selepas gagal menunjukkan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL).

"Suspek bertindak merayu dilepaskan dengan mengeluarkan wang daripada genggaman tangan kanan dan menghulurkan kepada anggota tersebut," katanya.

Menurutnya, suspek tidak mengendahkan tiga kali amaran yang diberikan sebelum polis melakukan tangkapan ke atasnya.

"Anggota telah menepis huluran dan memberi amaran 'saya tidak terima rasuah dan memberi rasuah adalah salah di sisi undang-undang'.

"Setelah diberi amaran, polis telah merampas wang tersebut dan membuat tangkapan ke atas suspek," katanya.

Osman berkata, suspek diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Taiping untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan: