IKEA kaji semula bekalan kayu dari Ukraine

Earthsight mendakwa sebilangan perabot syarikat Sweden itu dihasilkan daripada aktiviti pembalakan haram di pergunungan Carpathian, Ukraine.
Earthsight mendakwa sebilangan perabot syarikat Sweden itu dihasilkan daripada aktiviti pembalakan haram di pergunungan Carpathian, Ukraine.
A
A
A

STOCKHOLM - Syarikat perabot IKEA semalam memaklumkan akan mengkaji semula rantaian bekalan kayu dari Ukraine selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menuduh pembekal kayu syarikat itu memperoleh sumber kayu secara tidak sah.

Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan syarikat tersebut berkata, syarikat itu tidak menerima kayu yang dilog masuk secara haram dalam produknya.

"Kami akui pembalakan haram masih menjadi isu global yang meluas. Oleh itu, pihak kami akan mengambil langkah proaktif untuk mengesahkan pembekal kami mematuhi undang-undang," katanya.

Selain itu, syarikat terbabit berkata, bekalan kayu dari Ukraine merangkumi kurang satu peratus daripada sumber produknya di seluruh dunia.

Pada tahun 2019, IKEA menggunakan sekitar 21 juta meter padu kayu bulat iaitu hampir satu peratus daripada pengeluaran kayu industri di dunia.

Terdahulu, pertubuhan NGO Earthsight mengeluarkan kenyataan yang mendakwa sebilangan perabot syarikat Sweden itu dihasilkan daripada aktiviti pembalakan haram di pergunungan Carpathian yang menjadi habitat kucing liar spesies lynx dan beruang coklat yang terancam.

Earthsight berkata, pemeriksa persekutuan di Ukraine mendapati bahawa perniagaan perhutanan negara Velyky Bychkiv telah membenarkan syarikat pembekal kayu IKEA yang dikenali sebagai VGSM, untuk memotong pokok ketika di dalam tempoh aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di kawasan pergunungan tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: