Jangan sampai tersilap langkah!

Luqman Hakim sedang beraksi ketika perlawanan bola sepak.
Luqman Hakim sedang beraksi ketika perlawanan bola sepak.
A
A
A

Sejak beberapa minggu lalu, arena sukan bola sepak tanah air kembali bergegar. Semuanya kerana cerita yang mengaitkan beberapa pemain muda negara mendapat perhatian kelab luar termasuk dari Eropah.

Sudah pasti tumpuan lebih terarah kepada penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin. Nama pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu pantas meniti di bibir penyokong dan peminat bola sepak Malaysia.

Gara-gara dikatakan mendapat tawaran daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United dan kelab Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen, kelibat Luqman Hakim terus ‘menerjah’ dada-dada akhbar dan media sosial.

Namun, belum sampai waktunya lagi, tiba-tiba ada kejutan pula berlaku. Pihak Newcastle memaklumkan tiada sebarang tawaran dibuat untuk membawa masuk Luqman Hakim ke St James Park dalam masa terdekat.

Dalam hal ini, Luqman Hakim seolah-olah menjadi mangsa keadaan. Dalam usianya yang begitu muda, produk sulung Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu sudah pasti terkesan dengan apa yang perlu dihadapinya.

Baru mencecah usia 18 tahun pada Mac lalu, Luqman Hakim tentunya masih dianggap ‘mentah’ dalam dunia bola sepak profesional. Dia memerlukan bantuan, bimbingan mahupun sokongan daripada semua pihak.

Kariernya baru hendak bermula dan langkahnya berliku. Tatkala hala tujunya ke kelab Belgium, KV Kortrijk masih menjadi tanda tanya, Luqman Hakim tidak harus dibiarkan ‘berseorangan’.

Inilah masa terbaik Luqman Hakim mendapatkan panduan daripada individu yang benar-benar credible. Jangan sampai silap pilih orang, nanti lebih buruk padah yang menimpa.

Artikel Berkaitan:

Peringatan itu bukan saja buat Luqman Hakim, malah kepada pemain-pemain muda negara. Dalam lingkungan usia masih muda, mereka harus mendapatkan khidmat nasihat daripada orang yang lebih pakar dan berpengalaman.

Memang ada benarnya apa yang dikatakan bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali. Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis pihak tertentu. Jangan percaya dengan janji ‘bulan dan bintang’ selagi belum ada apa-apa dimeterai.

Hendak bina dan kembangkan karier, tak semestinya sampai menembusi bumi Eropah. Mungkin buat permulaan, pentas Asia sudah memadai. Lihat saja liga di Jepun dan Korea Selatan, ia sudah cukup menjadi platform awal.

Apa yang penting, jangan silap langkah. Ingatlah pepatah Melayu lama ada mengatakan: ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.