PRK Chini: Kempen dalam normal baharu hambar

BN mula memenuhkan kawasan PRK DUN Chini N.23 dengan bendera dan kain rentang BN dalam kempen PRK DUN Chini N.23 di Bandar Dara Chini. -Foto Bernama
BN mula memenuhkan kawasan PRK DUN Chini N.23 dengan bendera dan kain rentang BN dalam kempen PRK DUN Chini N.23 di Bandar Dara Chini. -Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang bermula sejak Sabtu lepas, masih dilihat agak hambar, kurang ‘meriah’ dan bahangnya belum begitu dirasai.

Ada yang mengatakan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas yang bertujuan mengelakkan perhimpunan besar-besaran dalam memerangi jangkitan Covud-19, telah memberi kesan kepada kempen secara bersemuka, apatah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih menggalakkan calon berkempen secara dalam talian, sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

Selain itu, tidak banyak bahan kempen seperti poster dan bendera yang dipasang, berbeza dengan situasi biasa dalam pilihan raya yang sering berlaku perang poster dan bendera parti atau calon yang bertanding.

Bagi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, kelewatan pemasangan bahan kempen dalam PRK ini berbanding PRK lain sebelum ini adalah kerana pihak jentera parti perlu memastikan aktiviti kempen mereka tidak melanggar SOP ditetapkan oleh SPR.

"Ketika ini pun sudah ada poster dan bendera yang dipasang dan ia akan ditambah secara berperingkat bagi memastikan kempen terus diperhebatkan," katanya.

Tinjauan Bernama hari ini, hari kelima kempen mendapati masih tidak banyak poster, kain rentang kempen dan bendera boleh dilihat dan jika ada hanya beberapa bahan kempen BN dipasang di persimpangan jalan tertentu, namun tidak kelihatan bahan kempen dua calon Bebas, iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Mohd Shukri awal-awal lagi telah menyatakan akan lebih mengutamakan kempen secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini, tambahan pula beliau merupakan seorang penulis blog yang lebih selesa dengan kaedah secara dalam talian.

Tengku Zainul Hisham pula telah memaklumkan bahawa kempen beliau lebih kepada mendengar permasalahan penduduk tempatan.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga calon dilihat masih menggunakan kempen secara tradisional iaitu ‘tinjauan mesra’ dan dari rumah ke rumah tetapi dijalankan dalam jumlah terhad seperti ditetapkan.

Dari segi permit ceramah pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat semalam telah meluluskan 12 permohonan permit yang semuanya melibatkan calon BN. Ceramah BN dibuat mengikut SOP iaitu dalam jumlah yang kecil dan kebanyakannya tanpa kehadiran media kerana mahu mengurangkan bilangan yang hadir tetapi ceramah itu disiarkan secara langsung menerusi platform dalam talian.

Di samping menggunakan platform media sosial untuk berkempen, jentera BN turut menggunakan lori bergerak untuk berkempen. Lori tersebut dihiasi lampu LED dan sistem siar raya untuk memperkenalkan calon BN di ceruk-ceruk kampung.

Bagi sebahagian penduduk di DUN Chini, mereka dapat menerima normal baharu dalam kempen PRK kali ini kerana ia merupakan langkah penting pengawalan wabak Covid-19, namun merasakan suasana PRK kali ini tidak semeriah pilihan raya sebelum ini

Wan Islahuddin Ali, 41, pengundi dari Kampung Salong berkata, kemeriahan pilihan raya kurang dirasai meskipun ketiga-tiga calon PRK kali tetap turun padang bertemu penduduk.

“Pilihan raya kali ini sangat berlainan rasanya. Kempen dari rumah ke rumah dibuat calon seperti datang melawat saudara sebabnya calon hanya diiringi beberapa individu sahaja. Tiada kemeriahan langsung,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Othman Saad, 67, berkata, beliau mengetahui adanya PRK Chini selepas melihat berita di televisyen.

“Pak cik ingat pak cik sahaja yang tidak perasan sudah berlangsung kempen PRK, rupanya ada juga kawan-kawan pakcik yang beritahu perkara sama sebabnya suasananya biasa sahaja,” katanya.

Hari pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai ini.- Bernama