Sila log masuk terlebih dahulu.

Daya imuniti bekas pesakit Covid-19 rendah, mudah dapat jangkitan

Bekas pesakit Covid-19 berdepan komplikasi kesihatan akibat sistem imuniti badan rendah. - Foto Bernama
Bekas pesakit Covid-19 berdepan komplikasi kesihatan akibat sistem imuniti badan rendah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketahanan imuniti badan seseorang individu akan menjadi rendah selepas dijangkiti koronavirus (Covid-19) walaupun telah pulih sepenuhnya.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar hariannya hari ini.

Menurutnya, keadaan itu berlaku akibat kekurangan antibodi IgM (immunoglobulin M) and IgG (immunoglobulin G) selepas individu tersebut dijangkiti wabak berkenaan.

"Jadi ia mungkin memberi kesan kepada imuniti individu tersebut, sekiranya (imuniti) rendah, maka dia mudah mendapat jangkitan kuman lain selain Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media antarabangsa terhadap kajian yang dijalankan ke atas bekas pesakit Covid-19

Beliau berkata, rawatan susulan terhadap bekas pesakit akan diberikan bagi memantau kesihatan mereka terutamanya bagi pesakit Covid-19 dalam kategori empat dan lima.

"Kes kategori empat dan lima melibatkan radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan bantuan pernafasan.

"Pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan bererti berlaku banyak inflamasi radang dalam paru-paru yang kemungkinan menyebabkan ia akan rosak dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain pesakit Covid-19 berisiko mengalami masalah jantung dan strok, Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati pembekuan darah berlaku di usus dan buah pinggang.

"Tindakan kita adalah melakukan rawatan antiradang dengan beberapa ubat pada awal peringkat empat untuk mengelakkan pembekuan darah," katanya.