Dua tapak semaian anak pokok diserbu

Antara barangan yang berjaya dirampas pihak berkuasa.
Antara barangan yang berjaya dirampas pihak berkuasa.
A
A
A

TANAH MERAH - Helah berselindung di sebalik premis semaian anak pokok terbongkar apabila dua lokasi tempat penyembunyian bekalan barangan seludup diserbu pihak berkuasa di Lalang Pepuyu dan di Kampung Limau Purut, sempadan Tanah Merah-Rantau Panjang hari ini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, dalam operasi jam 2.30 petang itu, sebanyak 1,326 kilogram minyak masak, 400 kilogram gandum dan 960 kilogram gula kasar disita melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,931.

Beliau berkata, kawasan tapak semaian yang hanya 200 meter jaraknya dari Sungai Golok itu dipercayai dijadikan sebagai transit barang kawalan tersebut sebelum diseludup ke negara jiran

"Pihak KPDNHEP Cawangan Tanah Merah dengan Batalion Keempat Rejimen Renjer DiRaja dan Batalion Ketujuh Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melakukan operasi bersepadu dan berjaya menghasilkan dua kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Turut sama menyertai operasi ialah Pegawai Memerintah Empat Rejimen Renjer DiRaja, Leftenan Kolonel Farizz Ahmad Nawawi dan Pegawai Pemerintah Batalion Tujuh PGA, Superitendan Azhari Nusi.

Menurutnya, operasi tersebut dilakukan berdasarkan maklumat risikan agensi yang diperoleh sejak seminggu lalu.

Beliau memberitahu, sitaan juga telah dibuat terhadap dua pemilik premis tapak semaian tersebut yang merupakan warganegara tempatan berumur 45 dan 55 tahun.

"Orang ramai dinasihatkan menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP Kelantan dengan kerjasama agensi sempadan lain dan pasukan audit sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras," katanya.