19 pasar tani di Perak dibenar beroperasi

Abdul Yunus (tengah) bersama Anuar (kanan) dan Faril Mussawwir menunjukkan lokasi-lokasi pasar tani yang dibenar beroperasi mulai hari ini di seluruh Perak.
Abdul Yunus (tengah) bersama Anuar (kanan) dan Faril Mussawwir menunjukkan lokasi-lokasi pasar tani yang dibenar beroperasi mulai hari ini di seluruh Perak.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 19 daripada 29 pasar tani di negeri dibenar beroperasi mulai hari ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, kebenaran tersebut diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) di 11 daerah kecuali Bagan Datuk dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, pembukaan semula operasi pasar tani itu akan melibatkan peniaga terpilih dengan jumlah yang disesuaikan dengan keluasan sesebuah pasar tani.

"Dengan pembukaan semula pasar tani ini, ia dapat menjana kembali sumber pendapatan usahawan yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hampir tiga bulan tidak dapat menjalankan perniagaan.

"Pada masa sama, pembukaan ini juga memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan mudah selain memberi satu semangat baharu kepada petani agar terus mengeluarkan hasil tanaman," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Anuar Mohamed dan Timbalan Pengarah FAMA Perak, Faril Mussawwir Zulamran.

Abdul Yunus berkata, pengoperasian semula pasar tani itu merupakan satu momentum terbaik bagi memastikan penawaran dan permintaan kembali seimbang dalam tempoh PKPP sekaligus menjamin sekuriti makanan di Perak.

Menurutnya, sepertimana pembukaan pasar malam dan pasar terbuka yang lain, pasar tani akan menitikberatkan pematuhan SOP sama ada dalam kalangan peniaga mahupun pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setiap pasar tani akan ditempatkan pegawai FAMA bertugas untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata, sistem nombor giliran digunakan untuk orang ramai masuk ke pasar tani dengan jumlah individu bagi setiap keluarga dihadkan hanya untuk dua orang sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Yunus berkata, dua pasar tani iaitu di Kuala Kangsar dan Teluk Intan akan ditukar lokasi mengikut kesesuaian SOP PKPP.

Jelasnya, lokasi sebelum ini tidak sesuai kerana tempat terlalu padat dan lokasi baharu telah dikenalpasti dan menunggu kebenaran PBT untuk beroperasi.

Menurut beliau, kesemua pasar tani sedia akan dibuka sepenuhnya secara berperingkat dan menunggu kelulusan daripada pihak berkaitan.