Pewartaan kawasan penanaman padi

Ahmad Faizal membuat lontaran bagi menyempurnakan gimik perasmian penutup kejohanan berkenaan, semalam.
A
A

IPOH - Kerajaan negeri akan berbincang bagi mendapatkan maklumat daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung pewartaan kawasan-kawasan penanaman padi di sekitar negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan berkenaan dibuat kerana pewartaan berkenaan perlu diselaraskan dengan ‘pengorbanan’ daripada negeri-negeri seperti Perak dan Kedah yang memiliki keluasan sawah padi terbesar di negara ini.

Menurut Ahmad Faizal, pihak kementerian juga perlu melihat beberapa perkara lain yang boleh dibantu khususnya bagi penjanaan ekonomi kepada negeri-negeri ini.

"Kita sedia beri kerjasama sekiranya perlu kuatkuasakan pewartaan kawasan tamanan padi ini, namun kita juga minta kerajaan untuk lihat negeri-negeri yang banyak berkorban seperti Perak dan Kedah dalam beberapa perkara.

“Sekiranya kita terpaksa korbankan sawah-sawah kita ini untuk tujuan pewartaan, kerajaan persekutuan juga perlulah melihat perkara lain yang boleh dibantu dari segi penjanaan ekonomi," katanya pada sidang media setelah menyempurnakan perasmian penutup Kejohanan Lawn Ball Piala Taming Sari Open Triples di Arena Lawn Balls Perak, semalam.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi mengulas cadangan daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berhubung penguatkuasaan pewartaan kawasan tanaman padi di beberapa negeri dalam usaha menangani masalah keluasan sawah yang semakin mengecil.

Difahamkan, cadangan berkenaan dikemukakan Salahuddin dalam Mesyuarat Tanah Negara baru-baru ini.

Sementara itu Ahmad Faizal menyifatkan pewartaan berkenaan khususnya di negeri ini mungkin berdepan kekangan berikutan kebanyakan kawasan penanaman padi di negeri ini Selain itu, Ahmad Faizal berkata, proses pewartaan itu juga mungkin berdepan sedikit kekangan memandangkan kebanyakan kawasan penanaman padi dimiliki syarikat korporat.

"Di Perak , kita mempunyai kawasan sawah yang begitu besar terutamanya di Kampung Gajah dan sebagainya.

"Bagaimanapun, kawasan sawah itu juga dimiliki oleh pihak korporat yang besar, dan mempunyai pajakan yang panjang.

"Oleh itu, saya tak nampak syarikat-syarikat ini akan membangunkan tanah-tanah sawah mereka untuk perkara lain,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia