Tujuh sekeluarga cedera, MPV rempuh belakang treler

Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas melanggar belakang treler di Tapah hari ini. - Foto JBPM Perak
Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas melanggar belakang treler di Tapah hari ini. - Foto JBPM Perak
A
A
A

TAPAH - Bayi perempuan berusia 12 bulan bersama enam ahli keluarganya cedera selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah treler di KM326, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Tapah di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar 3.30 pagi itu, tujuh sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza itu dikejarkan ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pasangan suami isteri berusia 38 dan 37 tahun mengalami patah kaki kanan dan tulang rusuk manakala bayi yang dipangku ibunya mengalami kecederaan dalaman.

“Dua lagi anak mangsa masing-masing lelaki dan perempuan berusia 5 dan 6 tahun mengalami kecederaan di perut dan kepala.

“Selain itu, dua sepupu kepada pemandu kereta yang berusia 11 dan 16 tahun mengalami kecederaan ringan dan patah paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat MPV tersebut hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler terbabit.

“Treler tersebut dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, apabila sampai di tempat kejadian telah mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.

“Pihak PLUS telah meletakkan kon keselamatan di belakang treler tersebut sebelum kenderaan mangsa yang terbabas ke lorong kecemasan melanggar bahagian belakang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Azharuddin berkata, pemandu dan penumpang Toyota Avanza dibawa ke hospital untuk rawatan manakala pemandu treler iaitu lelaki berusia 40 tahun tidak cedera.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.