Ramasamy pertahan hak kaum India, sangkal dakwaan rasis

Ramasamy
Ramasamy
A
A
A

GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy menyangkal kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang mempertikaikan tindakannya mempertahankan hak keagamaan masyarakat India di negara ini.

Menurutnya, Tun Abdul Hamid seharusnya meneliti fakta sebenar di sebalik insiden sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan termasuk menuduhnya cuba mengapi-apikan semangat rasis dalam kalangan orang India.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, Tun Abdul Hamid tidak dapat membezakan antara rasisme dan mempertahankan hak agama dan kaum.

"Adakah saya boleh dikatakan rasis kerana mempertahankan hak asasi masyarakat India?

"Adakah ini boleh dikatakan bahawa saya mengungkit semangat rasis orang India kerana menyuarakan ketidakadilan yang mengakibatkan perobohan Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak dalam halaman Pusat Koreksional Kamunting (Kemta) Taiping," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ramasamy berkata demikian sebagai reaksi balas artikel ‘Ahli politik, penceroboh tanah dan isu rasis’ ditulis oleh Tun Abdul Hamid Mohamad yang disiarkan di Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli politik, penceroboh tanah dan isu rasis

Mengulas lanjut, Ramasamy menegaskan, beliau tidak menghina kaum lain, mendiskriminasikan kaum lain ataupun bertindak tidak menghormati agama masyarakat lain untuk dikatakan sebagai rasis ataupun bertindak menyemarakkan api perkauman.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kuil berkenaan telah wujud selama hampir seratus tahun dan dibina bagi memenuhi keperluan keagamaan dan kerohanian pekerja yang berhijrah dari India sebagai pekerja ladang.

"Sejak kuil ini dibina hingga sekarang, upacara sembahyang yang berterusan telah dilakukan oleh pihak pengurusan kuil.

"Tetapi hari ini, kuil bersejarah tersebut telah dirobohkan dengan mengambil kesempatan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai mempersoalkan adakah tindakan perobohan itu wajar tanpa apa-apa pemberitahuan dahulu kepada pihak berkenaan.

Katanya, jika kuil bersejarah yang wujud sebelum kemerdekaan, sesuatu binaan yang boleh dipertimbangkan sebagai tapak warisan namun boleh dirobohkan di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pihak berkenaan.

"Adakah ia bermaksud hak keagamaan masyarakat Hindu di Malaysia tidak dihormati?

"Sudah tentunya ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk mengambil tindakan bagi merobohkan kuil dan saya berpendapat ia bukan keputusan pengarah penjara seorang," katanya.

Beliau berkata, tiada siapapun yang ingin menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas mereka tetapi sudah tentunya jalan penyelesaian yang lebih baik boleh dicari daripada merobohkan kuil tersebut.

Tambahnya, di Pulau Pinang pihaknya menghadapi beberapa masalah seperti sedemikian dan sudah tentunya ia dapat diselesaikan dengan jalan alternatif yang tidak menyakiti atau merugikan mana-mana pihak.

Katanya, dengan adanya Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang, isu-isu kuil yang wujud di tapak milik persendirian yang kemudiannya menjadi milik pihak lain dapat diselesaikan melalui rundingan dan penempatan semula kuil tersebut ke tapak baharu.