X

Kindly register in order to view this article
!

Empat pegawai imigresen, marin ditahan

(Ayob Khan Mydin Pitchay) Laporan Sinar Harian berhubung penahanan anggota penguat kuasa dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan empat lagi pegawai dan anggota agensi penguat kuasa menerusi dua serbuan berasingan kerana disyaki bersekongkol dalam sindiket penyeludupan migran.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek terlibat merupakan tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang anggota Pasukan Polis Marin yang semuanya berusia 30 hingga 48 tahun.

"Tiga pegawai Imigresen yang bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang ditahan semalam kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran ke Batam, Indonesia sejak Mac lalu.

"Modus operandi mereka adalah menyediakan cap palsu Imigresen Malaysia bagi membolehkan warga Indonesia yang tamat tempoh pas lawatan sosial dapat pulang ke negara asal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - 18 anggota pasukan keselamatan disyaki terlibat sindiket jenayah ditahan

Sebelum ini 13 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden serta lima anggota Angkatan Tentera Malaysia ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran di sempadan negeri ini.

Ayob Khan berkata, siasatan mendapati migran yang dibantu pihak imigresen itu kebanyakannya bukan mereka yang diberi kelonggaran untuk pulang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi pas lawatan atau permit mereka sudah tamat setahun lalu.

Beliau berkata, mereka menggunakan laluan sah tetapi menggunakan modus operandi itu kerana dalang-dalang utama penyeludupan migran melalui jalan laut sudah ditangkap dan kegiatan tersebut sudah ditumpaskan menerusi operasi besar-besaran sebelum ini.

Menurutnya, kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang migran dan pihaknya percaya migran yang berjaya pulang ke negara asal turut mendapat cap palsu di Indonesia.

Katanya, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Sementara itu, seorang seorang anggota Pasukan Polis Marin berusia 41 tahun yang bertugas di Putrajaya ditahan pada 19 Jun lalu kerana dipercayai aktif bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran sejak Mei 2017.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 130V hingga 130VB Bab 6B Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan menggunapakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," ujarnya.

Tambahnya, sehingga kini pihaknya telah menahan seramai 22 pegawai dan anggota penguat kuasa yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran khususnya di pantai timur negeri ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus