Suami isteri bawa anak ketika jual beli pil kuda

Sebahagian penagih yang ditahan menerusi Ops Total Enforcement II (OTE II) di kawasan Pengkalan Chepa bermula pada Isnin lalu hingga malam tadi.
Sebahagian penagih yang ditahan menerusi Ops Total Enforcement II (OTE II) di kawasan Pengkalan Chepa bermula pada Isnin lalu hingga malam tadi.
A
A
A

PASIR MAS - Bukan sahaja melakukan kegiatan tidak bermoral, pasangan suami isteri turut menunjukkan bersikap tidak bertanggungjawab apabila sanggup membawa anak lelaki berumur enam tahun ketika melakukan urusan jual beli dadah di sekitar bandar Kota Bharu.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, perkara itu turut mengejutkan pihaknya selepas tangkapan dilakukan ke atas pasangan suami isteri itu menerusi Ops Total Enforcement II (OTE II) di kawasan Pengkalan Chepa bermula Isnin lalu hingga malam tadi.

Rohayu Ahmad
Rohayu Ahmad

"Saya agak terkejut dengan pengakuan yang dibuat oleh pasangan suami isteri itu apabila mereka sanggup 'mengangkut' anak lelakinya itu ketika melakukan urus niaga dadah.

"Pasangan suami isteri itu turut mempunyai dua lagi anak perempuan berusia 14 dan sembilan tahun dan kesemua anak pasangan itu telah diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar sempena OTE II di AADK Pasir Mas di sini hari ini.

Pihaknya akan merujuk ketiga-tiga anak kepada pasangan terbabit kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu melakukan urus niaga pil kuda secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan mereka untuk melepaskan ketagihan.

Beliau berkata, suami isteri terbabit mengaku menagih dadah sejak enam tahun lalu dengan tujuan mencari kepuasan.

Artikel Berkaitan:

Rohayu berkata, dalam operasi itu, seramai 111 individu yang ditahan positif pil kuda termasuk pasangan suami isteri terbabit manakala dua lagi positif dadah jenis opiat.

Dalam perkembangan lain, Rohayu berkata, AADK Kelantan telah mengenal pasti 15 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan hitam penagih dadah di negeri ini.

Katanya, kawasan itu ialah Pengkalan Chepa, Badang, Kota Bharu (bandar), Ulu Sat, Tumpat (bandar), Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu, Perupok, Gajah Mati, Melawi, Telong, Tanjung Pauh, Pasir Mas (bandar), Kuala Lemal dan Gual Periuk.