Dua lagi suspek seludup dadah guna dron ditangkap

Ayob Khan menunjukkan foto suspek kes penyeludupan dadah menggunakan dron pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob Khan menunjukkan foto suspek kes penyeludupan dadah menggunakan dron pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lagi suspek yang terlibat menyeludup dadah dari Johor Bahru ke Singapura dengan menggunakan dron ditahan secara berasingan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-duanya ditahan susulan penahanan seorang suspek lelaki dalam kes sama semalam yang dikenali sebagai Boy Setan.

"Dua suspek berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara Singapura berusia 41 tahun manakala seorang lagi wanita tempatan berusia 23 tahun. Wanita ini merupakan teman wanita kepada Boy Setan.

"Kita tahan suspek lelaki di sebuah kondominium di bandar raya ini dan wanita itu pula di sebuah kondominium di Taman Mount Austin iaitu tempat yang sama Boy Setan ditahan semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Semalam, polis Johor menahan Boy Setan, 40, di taman tersebut pada jam 1 petang selepas didapati terlibat menyeludup dadah dari Johor Bahru-Singapura dengan menggunakan dron.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Boy Setan' seludup dadah guna dron diburu

'Boy Setan' ditahan di Taman Mount Austin: Polis Johor

Ahad lalu pihak berkuasa Singapura menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun di negara tersebut kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Data penerbangan yang diambil dari telefon seorang suspek menunjukkan bahawa dron tersebut terbang dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kranji membawa sebuah beg, pada jam 5.45 petang 17 Jun lalu.

Siasatan awal mendapati beg berkenaan mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat sekitar 278 gram.

Susulan itu, dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun dipercayai pengendali dron terbabit ditahan sebelum esoknya seorang wanita, 24, dan seorang lelaki, 40, kedua-duanya warga Singapura ditangkap.

Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine selain dipercayai ahli kongsi gelap Geng Salakau atau 369 yang aktif di Singapura.

Menerusi tangkapan itu katanya, polis turut merampas 37 pil ekstasi, 13.6 gram syabu dan 2.4 gram heroin anggaran bernilai RM2,590.

Katanya, semua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini dan mereka akan didakwa di Malaysia kerana melakukan kesalahan di negara ini sebelum dihantar balik ke Singapura.