Mangsa banjir gesa selenggara parit

Mansor (belakang) bersama anaknya (depan) ditemani anggota meredah banjir selepas melihat keadaan rumahnya di Kampung Sri Gambut Pekan Nanas hari ini.
Mansor (belakang) bersama anaknya (depan) ditemani anggota meredah banjir selepas melihat keadaan rumahnya di Kampung Sri Gambut Pekan Nanas hari ini.
A
A
A

PONTIAN- Mangsa banjir di Kampung Sri Gambut Pekan Nanas di sini meminta pihak berkenaan menyelenggara sistem perparitan di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang lagi.

Penduduk, Mansor Saimoin, 50, berkata, Kampung Sri Gambut merupakan kawasan yang kerap dilanda banjir kilat di mana kali terakhir musibah itu berlaku pada Disember tahun lepas.

Menurutnya, air banjir mendadak naik sehingga paras satu meter selepas hujan tidak henti pada pagi Ahad lalu menyebabkan dia sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gambut.

"Dalam tempoh enam bulan, banjir berlaku lagi. Belum habis penat sudah kena redah banjir lagi. Minta pihak berkaitan lakukan sesuatu untuk baiki sistem saliran bagi mengelak kejadian banjir berulang lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, banjir yang melanda beberapa tempat di Pekan Nanas berpunca daripada fenomena air pasang yang sedang berlaku pada masa kini.

Menurutnya, beliau meminta pihak berkenaan segera menyelenggara tiga sungai utama di Pekan Nanas iaitu Sungai Pontian Kechill, Sungai Pontian Besar dan Sungai Air Hitam.

Menerusi laporan banjir yang dikeluarkan setakat tengah hari tadi, daerah Pontian masih merekodkan jumlah PPS terbanyak iaitu tujuh PPS dengan jumlah mangsa seramai 243 daripada 65 keluarga.

PPS tersebut ialah SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Melayu Raya, Sekolah Agama Kayu Ara Pasong, SK Belokok, SK Penerok dan SK Sanglang.

Artikel Berkaitan: