Lelaki tak mengaku tiga dakwaan miliki dadah

Tertuduh, Mansor Ali mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dan heroin di Mahkamah Majistret Marang hari ini (Foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu)
Tertuduh, Mansor Ali mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dan heroin di Mahkamah Majistret Marang hari ini (Foto: Ihsan IPD Hulu Terengganu)
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dan heroin.

Tertuduh, Mansor Ali, 53, yang sebelum ini memiliki lima rekod jenayah lampau berkait dadah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 8.19 gram di sebuah rumah di Kampung Kemat, Jalan Sekayu, Kuala Berang, jam 4.20 petang pada 13 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 3.45 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) ADB 1952 berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 15.24 gram di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 39 B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang sementara menunggu laporan kimia.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 manakala tiada sebarang jaminan ditawarkan bagi pertuduhan ketiga.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara hujung tahun lalu kerana kesalahan dadah sekali lagi ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM3,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kemat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu hasil maklumat dan risikan berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di lokasi itu.