Liga-M bermula awal cabaran buat TFC

Nafuzi Zain -Foto: Terengganu Football Club
Nafuzi Zain -Foto: Terengganu Football Club
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui skuadnya sukar mencapai tahap kecergasan terbaik sekiranya saingan Liga Super disambung lebih awal iaitu pada Ogos berbanding September seperti dijadualkan sebelum ini.

Bagaimanapun, Nafuzi yang juga bekas penyerang skuad Penyu berkata, ia bukan alasan untuk pasukannya tidak mempamerkan aksi terbaik pada baki lapan perlawanan yang dijadualkan berlangsung kelak.

Katanya, sebagai pasukan profesional, TFC sentiasa memastikan skuadnya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akur terhadap apa-apa jua keputusan yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Kalau liga (Super) bermula Ogos bermakna kita ada antara enam ke tujuh minggu untuk latihan dan persediaan. Pemain perlu betul-betul berada pada prestasi terbaik.

"Dari segi latihan kita akan lihat perkembangan dari semasa ke semasa dan sekiranya dibenarkan latihan seperti biasa, itu lebih bagus dan cepat untuk proses pemulihan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai saingan Liga Super yang akan diteruskan secara tertutup tanpa penonton, Nafuzi berkata beliau memandang positif arahan tersebut walaupun ia memberi kesan terhadap kemeriahan perlawanan dan sokongan moral daripada penonton di stadium.

Namun beliau berkata, situasi tersebut tidak akan menjejaskan komitmen pemain di atas padang dan berusaha bermati-matian bagi memenangi baki lapan perlawanan.

"Situasi ini (perlawanan tanpa penonton) bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah secara global kerana di Eropah pun kita tengok perlawanan bermula semula tanpa peminat.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan kita ada lapan perlawanan sahaja nanti, setiap perlawanan adalah penting dan fokus pastinya untuk mengutip mata semaksimum mungkin," katanya.