PN umpama kerajaan tiada identiti

Sangetha Jayakumar
Sangetha Jayakumar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara sekarang disifatkan sebagai kerajaan yang tiada identiti, tidak mempunyai mandat dan akauntabiliti kerana tiada manifesto, kata Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sangetha Jayakumar.

Menurutnya, ia kerana tidak ada sebarang bentuk perjanjian tentang bagaimana kebertanggungjawaban kerajaan kepada rakyat ketika ini.

"Rakyat sebenarnya hendak kerajaan yang bebas daripada rasuah, adil dan saksama supaya mereka ada duit poket dan kehidupan mereka terjamin.

"Rakyat sendiri boleh menilai kita seolah-olah sudah kembali kepada senario lama di mana (kerajaan) yang berkuasa menunjukkan kuasanya dan hak serta kebajikan rakyat tidak lagi dijamin," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Siri 175 bertajuk 'Tanpa manifesto: Apa jadi taruhan?' yang bersiaran secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian dari Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Wacana itu yang dihoskan moderator, Azlan Shah Nabees Khan menampilkan dua lagi panelis iaitu Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Mengulas lanjut, Sangetha berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan PH dipilih mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah mandat yang diberikan oleh rakyat.

"Maknanya kerajaan yang ditubuhkan adalah daripada rakyat yang mengundi tetapi kerajaan yang mentadbir sekarang tidak dipilih oleh rakyat dan ini menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kita tengok kerajaan PN sekarang tidak ada dasar dan polisi. Jadi apa yang jadi taruhan mereka? Itu sebab pemimpin ahli Parlimen mereka ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," dakwanya.

Dalam pada itu katanya, tidak adil untuk menghukum manifesto PH dalam PRU14 lalu adalah gagal kerana dalam manifesto itu ditetapkan garis masa apa yang dijanjikan dalam beberapa tempoh antaranya dalam masa 100 hari, satu penggal dan dua penggal atau 10 tahun.

"Dalam tempoh 22 bulan mentadbir negara banyak perkara PH lakukan. Misalnya media bebas bersuara. PH tidak menyekat kebebasan media.

"Bila kita beri e-tunai RM30, kita dihentam kononnya data keselamatan terancam namun sekarang PN beri RM50 melalui aplikasi MySejahtera," katanya.