NUTP kecewa tindakan KPM kurangkan cuti sekolah

Aminuddin Awang
Aminuddin Awang
A
A
A

SHAH ALAM – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kecewa dengan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) meminda Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 sehingga melibatkan cuti pertengahan penggal dua dan cuti akhir tahun dikurangkan.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, sepatutnya pihak KPM membuat kajian yang lebih menyeluruh sebelum membuat keputusan tersebut.

“Pihak NUTP amat kecewa dengan langkah KPM mengurangkan cuti tersebut dan pertimbangan sepatutnya diberikan bagi guru-guru yang telah bertungkus-lumus melakukan pengajaran dan pembelajaran dari rumah secara maya.

“Ramai juga guru-guru yang telah membuat perancangan untuk balik ke kampung terutama bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Aminuddin berkata demikian mengulas tindakan KPM meminda Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 bagi membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

KPM dalam kenyataan berkata, pindaan itu melibatkan cuti pertengahan penggal dua itu dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kata kenyataan itu lagi, cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

Sementara itu, mengulas lanjut Aminuddin berkata, pihak NUTP merayu agar KPM dapat membuat pertimbangan semula terhadap keputusan memendekkan cuti tersebut demi kebaikan bersama.

Artikel Berkaitan:

“Berilah kepercayaan kepada guru-guru untuk menyelesaikan semua isu berkaitan murid dan sukatan pelajaran dalam tempoh masa persekolahan sebagaimana takwim asal,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihak NUTP akan menghantar surat rasmi bagi memohon pertimbangan semula berkaitan keputusan pemendekan cuti tersebut.

Terdahulu, KPM sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula kelmarin (24 Jun) melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.