Doktor rugi RM90,000 diperdaya Macau Scam

Seorang doktor perubatan kerugian RM92,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Seorang doktor perubatan kerugian RM92,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seorang doktor perubatan kerugian RM92,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, dalam kejadian itu, mangsa lelaki yang berumur 28 tahun tersebut telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai LHDN memaklumkan bahawa dia mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,000.

Katanya, mangsa kemudian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan dimaklumkan dia terlibat dengan kes jenayah membabitkan senjata api, wang haram dan dadah serta diarahkan untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan semakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

“Mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM30,000 dan RM10,000 ke dalam dua akaun Maybank, di Maybank Seremban pada 12.48 tengah hari.

“Mangsa juga turut memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan secara berperingkat yang kesemuanya berjumlah RM92,800. Mangsa tampil membuat laporan semalam sebaik menyedari diperdaya sindiket Macau Scam selepas melakukan semakan di internet,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, seorang tukang jahit wanita berusia 51 tahun kerugian RM80,954 diperdaya sindiket penipuan pinjaman tidak wujud selepas memohon pinjaman wang daripada ‘ejen CIMB’ menerusi pautan iklan yang dijumpai ketika melayari media sosial Facebook, sekitar Mei lepas.

Aibee berkata, pada 29 Mei lepas ketika mangsa berada di kediamannya di Jempol, wanita itu menerima mesej daripada seorang lelaki pada 1.08 tengah hari, memaklumkan bahawa pinjaman berjumlah RM250,000 telah diluluskan dan mengarahkannya memasukkan wang berjumlah RM80,954 ke dalam akaun berlainan untuk tujuan memproses pinjaman.

“Mangsa kemudian telah membuat 26 kali transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke dalam lapan akaun bank yang diberikan dan turut menerima mesej daripada CIMB menerusi nombor 69393 yang memaklumkan pinjamannya dalam proses,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa hanya membuat laporan polis semalam sebaik menyedari ditipu selepas gagal menghubungi lelaki berkenaan selain pinjaman yang dimohon masih tidak dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Sementara itu, Aibee berkata, pihaknya telah membuka sebanyak 185 kertas siasatan membabitkan penipuan pinjaman tidak wujud bagi tempoh 1 Januari sehingga semalam, dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.4 juta, meningkat sebanyak lapan kes berbanding 177 kes dengan kerugian RM1.37 juta bagi tempoh yang sama, tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayani panggilan yang meminta maklumat akaun bank serta tidak menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) serta nombor pin kepada mana-mana pihak selain perlu berurusan sendiri di pejabat syarikat pinjaman wang berlesen bagi tujuan pinjaman dan tidak membuat apa-apa bayaran ke dalam akaun individu. - Bernama