Wanita hamil antara ditahan ketagih dadah

Mohd Rizal (kanan) sedang menyoal penagih wanita yang ditahan dalam operasi berkenaan di Bangunan Persekutuan hari ini.
Mohd Rizal (kanan) sedang menyoal penagih wanita yang ditahan dalam operasi berkenaan di Bangunan Persekutuan hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita yang hamil dua bulan dan teman lelakinya antara penagih dadah yang ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam Operasi Total Enforcement II di sekitar kawasan rintis dan berisiko tinggi di negeri ini sejak Isnin lalu.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, dia mula mengambil dadah sejak lima tahun lalu untuk menghilangkan tekanan yang dialami.

Katanya, dia mendapat bekalan dadah secara percuma daripada kekasihnya yang berusia 43 tahun kerana tidak bekerja dan tiada wang.

"Keluarga pun tahu saya ambil dadah, selalunya saya ambil dua kali sehari," katanya yang turut mempunyai tujuh anak berusia antara 18 tahun hingga 17 bulan.

Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Kedah, Mohd Rizal Tawil berkata, operasi berkenaan dilaksanakan serentak di seluruh negara sejak Isnin lalu sehingga jam 12 malam ini.

Katanya, tiga kawasan rintis di Kedah ialah Kuala Kedah, Pulau Langkawi dan Felda Lubuk Merbau selain 13 kawasan berisiko tinggi.

"Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setakat ini kita berjaya menahan 161 individu berusia antara 13 hingga 51 tahun ke atas termasuk 11 pengedar dadah

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini ditahan atas pelbagai kesalahan dan akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.