X

Kindly register in order to view this article
!

Agih 5,000 cucuk sate tuna kepada petugas barisan hadapan

Ahmad (kanan) mengagihkan sate tuna kepada petugas barisan hadapan di Dewan MAEPS di sini hari ini. - FOTO IZARI ROSLI
A
A

SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Jabatan Perikanan hari ini mengagihkan 5,000 cucuk sate tuna kepada petugas barisan hadapan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia bagi menghargai pengorbanan pihak terlibat dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam masa sama katanya, ia juga sebahagian daripada promosi bagi memperkenalkan produk tuna yang menjadi salah satu hasil kekayaan negara.

"Ini salah satu inisiatif kementerian untuk turut serta membantu barisan hadapan dalam menangani Covid-19.

"Pengorbanan mereka perlu dijadikan contoh kepada semua rakyat Malaysia untuk membawa budaya sentiasa bersedia untuk bersama-sama memberikan sumbangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Promosi Produk Tuna Kepada Petugas Barisan Hadapan Yang Menangani Covid-19 di sini.

Beliau berkata, tuna merupakan salah satu produk yang boleh dibanggakan dan berharap industri berasaskan tuna dapat dikembangkan lagi di negara ini.

Katanya, sate tuna merupakan produk inovasi Jabatan Perikanan yang diperkenalkan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2016.

"Ia merupakan satu produk galakan promosi hasilan tuna yang diperkenalkan bagi mempelbagaikan variasi sate sedia ada di pasaran.

"Ia juga memberi kesempatan dan peluang kepada rakyat untuk menikmati makanan premium dengan kadar yang rendah," katanya.

Ahmad (kanan) bersama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi turut mencuba aiskrim rumpai laut pada program tersebut. - FOTO IZARI ROSLI
Ahmad (kanan) bersama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi turut mencuba aiskrim rumpai laut pada program tersebut. - FOTO IZARI ROSLI

Katanya, industri tuna di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu tuna oseanik yang merujuk kepada spesies tuna yang didapati di lautan antarabangsa (Lautan Hindi) dan Malaysia Timur (Sabah dan Labuan), manakala tuna neritik merujuk kepada tuna bersaiz kecil dan ditangkap dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pada 2016, Jabatan Perikanan telah menyenaraikan dua buah pelabuhan di Malaysia sebagai pelabuhan pendaratan tuna oleh vesel yang beroperasi di Lautan Hindi iaitu Pelabuhan Pulau Pinang serta Pelabuhan Langkawi.

Menurutnya, sehingga 2019, sebanyak 17 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel 'carrier' tuna telah dilesenkan untuk beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan seberat 2,760.50 tan metrik berdasarkan data awalan dengan nilai anggaran berjumlah RM35 juta.

Jelasnya, tuna di Malaysia secara keseluruhannya merangkumi tangkapan ikan seperti tuna neritik, oseanik dan like species.

"Pada 2019, sebanyak 101,627 tan metrik (data awalan) tuna didaratkan dengan nilai anggaran RM900 juta," katanya.

Jabatan Perikanan juga katanya, dalam usaha membangunkan Hub Tuna Malaysia dan sedang menyediakan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2020-2030 yang turut merangkumi inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!