Tindakan Daroyah tidak beri kesan kepada PKR, PH

Dr Daroyah Alwi, Amirudin Shari
Dr Daroyah Alwi, Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi melepaskan semua jawatannya sebelum ini tidak memberi kesan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan gabungan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau yakin Dr Daroyah ialah pemimpin terakhir di negeri itu yang akan melakukan tindakan sedemikian dan tidak akan ada mana-mana lagi pihak berpaling tadah terhadap parti itu selepas ini.

Menurutnya, terdapat 10 jawatankuasa di Cabang Kapar yang dilantik menerusi pemilihan lalu yang sehingga kini masih menyatakan kesetiaan bersama PKR.

"Kalau sudah keluar, keluar la. Parti sudah buang sejumlah orang. Selangor juga ada lebih kurang 100 individu lebih yang diambil tindakan disiplin kerana keluar dengan rela dan kesalahan-kesalan mereka.

"Sekarang masa untuk kita terus ke depan. Jangan dikenang mereka yang telah pergi," katanya ketika sidang media di Bilik Gerak Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini.

Sebelum ini, Dr Daroyah mengumumkan keluar PKR dan meletakkan semua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa 13 Jun lalu.

Beliau turut mengumumkan tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang 'mesra' Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya juga sudah menerima surat peletakan jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor daripada Dr Daroyah dan pengganti beliau masih sedang dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Sudah hantar (surat letak jawatan timbalan speaker). Pengganti beliau sedang dikenal pasti gabungan PH," katanya.