Pengurus rumah kebajikan didakwa perdagang wanita Sri Lanka

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pengurus rumah kebajikan orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua tuduhan memperdagangkan lima warga Sri Lanka bagi tujuan eksploitasi kerja di sekitar Bandaraya Melaka.

K Suryaakala, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama suaminya yang masih bebas telah didapati memperdagangkan wanita warga Sri Lanka berusia 20-an di Taman Widuri, Bachang pada jam 12.40 tengah hari pada 3 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, ibu kepada tiga orang anak itu bersama suami yang masih bebas telah didapati memperdagangkan satu lelaki dan tiga wanita warga Sri Lanka berusia antara 23 hingga 54 tahun di Jalan Tun Fatimah berdekatan bulatan Malim Jaya, kira kira jam 10.30 pagi, 26 April lalu.

Justeru bagi kedua-dua pertuduhan tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak melebihi tempoh 15 tahun dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad mencadangkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk K.Shashi meminta jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan suami anak guamnya berada di Sri Lanka dan perlu menanggung anak-anaknya serta tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan Suryaakala diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 24 Julai ini.