'Tergamak hang halau mak sendiri'

Meja kayu yang dirosakkan oleh suspek dalam kejadian itu.
Meja kayu yang dirosakkan oleh suspek dalam kejadian itu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki tergamak menghalau ibunya sendiri sebelum mengamuk memecahkan perabot dan televisyen dalam kejadian di sebuah rumah di Permatang Kuang, Penaga di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, lelaki berusia 24 tahun dikatakan tiba-tiba 'naik hantu' sebelum merosakkan harta benda di rumahnya sendiri sebelum memaki hamun ibunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 60-an yang takut dengan keadaan itu menghubungi seorang lagi anaknya sebelum dia melaporkan kejadian itu kepada polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dikatakan pernah beberapa kali mengamuk namun kali ini dia bertindak agresif sehingga mengundang rasa takut ahli keluarganya.

"Suspek tinggal di rumah itu bersama ibu serta seorang lagi abangnya dan menurut wanita itu, suspek tiba-tiba mengamuk tanpa sebab sebelum dia bertindak mengunci pintu dari bahagian dalam rumah dan menghalaunya.

"Kejadian sebegini telah berlaku lebih dari lima kali dan ini adalah kali pertama suspek bertindak agresif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, tiada sebarang ugutan yang dilakukan oleh suspek namun lelaki berkenaan bertindak merosakkan harta benda di dalam rumah seperti cermin tingkap hadapan rumah, televisyen dan meja kayu.

Bagaimanapun beliau berkata, daripada keterangan ibunya, dia tidak nampak apa-apa senjata yang digunakan untuk merosakkan barang-barang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebaik menerima laporan kejadian itu sepasukan polis bergegas ke rumah berkenaan dan berjaya menahan suspek.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

"Suspek kini ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat harta benda," katanya.