Mangsa banjir sedih tidak dapat ke sekolah

Hayatudin ( kiri) membantu ibunya Roslina mengemas pakaian yang rosak terkena banjir di Kampung Desa Baru, Pekan Nanas Pontian hari ini.
Hayatudin ( kiri) membantu ibunya Roslina mengemas pakaian yang rosak terkena banjir di Kampung Desa Baru, Pekan Nanas Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Mangsa banjir yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkilan kerana tidak dapat menghadiri sesi persekolahan yang bermula hari ini selepas ditutup kira-kira tiga bulan akibat pandemik koronavirus (Covid -19).

Mohamad Nur Hayatudin Mazli, 17, ketika ditemui berkata, beliau terpaksa membantu ibunya Roslina Ahmad, 48, mengemas dan membersihkan rumah mereka di Kampung Desa Baru, Pekan Nanas di sini, selepas banjir mula surut semalam.

Hayatudin yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Yunos Sulaiman, Pekan Nanas turut menghidap penyakit buah pinggang sehingga terpaksa makan 15 biji ubat setiap hari.

Roslina berkata, dia dan anaknya tinggal sementara di pusat pemindahan sementara ( PPS) Kampung Sawah Pekan Nanas selama empat hari sebelum banjir surut.

Lebih menyedihkan katanya, Hayatudin yang pendiam hanya mampu melihat pakaian seragam sekolah yang sempat diselamatkan manakala barang di dalam rumahnya rosak akibat banjir Jumaat lalu.

"Air naik dengan begitu cepat pada sekitar jam 10 pagi Jumaat lalu dan kami tidak dapat menyelamatkan barang di dalam rumah. Ubat sakit buah pinggang turut dihanyutkan banjir.

Roslina yang juga ibu tunggal memberitahu, Hayatudin menderita penyakit buah pinggang sejak berusia 13 tahun selepas kedua- dua belah kakinya kerap bengkak.

"Hayatudin aktif main hoki dan pernah mewakili daerah. Kakinya mula membengkak dan saya fikir sebab kepenatan bermain hoki. Selepas pemeriksaan Hayatudin disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

Artikel Berkaitan:

"Hayatudin sedih hari ini tidak dapat ke sekolah. Dia membantu saya kemas rumah. Tapi dia tetap hendak ke sekolah dan mahu mengambil SPM tahun ini," katanya.

Roslina memberitahu, beliau dan anaknya bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) sebanyak RM450 tetapi beliau turut mengambil upah membersihkan rumah penduduk.