Doktor rugi RM92,800 diperdaya Macau Scam

Superintendan Aibee Abd Ghani
Superintendan Aibee Abd Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Seorang doktor kerugian RM92,800 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa lelaki berusia 28 tahun telah didakwa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000.

"Ketika berada di hospital, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

"Mangsa diberitahu ada tunggakan cukai dan kemudian telah disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang memberitahu mangsa terlibat dengan kes jenayah melibatkan senjata api, wang haram dan dadah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, suspek meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan semakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Beliau berkata, mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat ke dalam nombor akaun diberi yang berjumlah keseluruhan RM92,800.

"Namun mangsa hanya sedar diperdaya sindiket Macau Scam setelah buat semakan tentang kejadian berlaku di internet dan telah membuat laporan polis semalam," katanya.

Sementara itu Aibee berkata, bermula Januari sehingga semalam, polis telah membuka sebanyak 185 kertas siasatan melibatkan kes penipuan pinjaman tidak wujud di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebanyak RM1.4 juta kerugian direkodkan berbanding 177 kes dengan nilai kerugian RM1.37 juta bagi tempoh sama tahun lalu.