X

Kindly register in order to view this article
!

Mat Tarzan tak mengaku tanam pokok ganja depan rumah

Muhamad Faisol (dua dari kanan) diiringi anggota polis untuk dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Mat Tarzan atau nama sebenarnya, Muhamad Faisol [email protected] mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tuduhan menanam pokok ganja di hadapan rumahnya berdekatan Jalan Datuk Kumbar dekat sini.

Penganggur berusia 38 tahun itu pada awalnya mengaku bersalah namun kembali menukar pengakuan tidak bersalah selepas mahkamah menjelaskan hukuman yang bakal dijalaninya adalah penjara seumur hidup dan enam sebatan.

Hakim Syarifah Norazlita Syed Salim Idid menetapkan Mat Tarzan tidak dibenarkan sebarang ikat jamin sehingga sebutan semula kes tersebut.

Sebutan semula kes itu akan diadakan semula pada 23 Julai depan termasuk tertuduh melantik peguambela dan juga hasil laporan kimia.

Proses pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Pada 10 Jun lalu suspek ditahan dalam serbuan pada jam 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Siasatan awal yang dilakukan mendapati suspek mengaku menanam pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri dan hasil pemeriksaan yang dilakukan di sekitar rumah berkenaan menemui empat pokok ganja.

Suspek yang mempunyai satu rekod kes lampau itu disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1)ADB 1952.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!