2,366 puntung rokok dikumpul dalam empat jam

Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Kemaman, Mohd Rosli Abdul Wahab (kanan) menunjukkan puntung rokok yang dikumpulkan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Kemaman, Mohd Rosli Abdul Wahab (kanan) menunjukkan puntung rokok yang dikumpulkan.
A
A
A

KEMAMAN - Hanya dalam tempoh empat jam, sebanyak 2,366 puntung rokok yang dibuang di kawasan Jalan Padang Astaka, Taman Bandar Chukai, di sini, dapat dikumpulkan penyelidik dari Pejabat Kesihatan Kemaman.

Angka itu sekali gus menunjukkan bahawa tabiat merokok dan pematuhan terhadap larangan merokok di tempat awam sukar dibendung selagi tahap ketagihan perokok mengatasi batasan undang-undang yang ditetapkan.

Pegawai Kesihatan Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, pemantauan pembuangan puntung rokok di kawasan itu dijalankan selama dua hari iaitu dua jam untuk setiap hari.

Menurutnya, projek itu merupakan kajian yang dijalankan bagi tujuan ke arah pewartaan kawasan berkenaan sebagai kawasan larangan merokok atau Zon Bebas Asap Rokok.

Kajian dilakukan seramai 10 penyekidik dari Pejabat Kesihatan Kemaman.
Kajian dilakukan seramai 10 penyekidik dari Pejabat Kesihatan Kemaman.

Katanya, kajian tersebut adalah kajian kedua selepas kajian pertama dijalankan pada Oktober lalu menerusi soal selidik kepada peniaga dan pengunjung di kawasan itu.

"Kajian kali ini bertujuan mengenal pasti tabiat merokok dalam kalangan perokok yang membuang puntung-puntung rokok di kawasan ini.

"Daripada kajian ini juga kita akan dapat mengetahui beberapa perkara antaranya kepatuhan perokok merokok di kawasan larangan yang telah diwartakan seperti di taman awam, premis kerajaan dan yang terbaru di kedai makan terbuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Mohd Anuar memberitahu, pihaknya juga akan mengenal pasti jenis rokok yang dihisap sama ada rokok sah atau tidak sah.

Kebanyakan dikutip di medan selera

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Kemaman melantik seramai 10 penyelidik yang dipecahkan kepada empat kumpulan bagi mengumpul dan merekodkan semua rokok yang dipungut selama dua hari iaitu pada hari pasar malam (Khamis) dan pasar minggu (Jumaat).

Kajian itu meliputi kawasan bermula masuk Jalan Padang sehingga jalan keluar pasar malam termasuk kawasan Taman Awam Bandar Chukai, lot parkir A dan B Jalan Padang, Medan Selera MPK, Perpustakaan Awam Daerah dan tempat latihan memandu.

Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata, hasil kajian mendapati sebanyak 1,174 batang rokok atau 49 peratus paling banyak ditemui di kawasan Medan Selera MPK merangkumi jarak tiga meter dan kawasan parkir B iaitu kawasan yang digunakan untuk pasar minggu dan pasar malam.

"Apa yang menyedihkan, kawasan taman awam walaupun ia telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak 2017 namun masih terdapat 404 batang (17 peratus) puntung rokok ditemui.

Penyelidik mengutip puntung rokok di celah pagar taman awam.
Penyelidik mengutip puntung rokok di celah pagar taman awam.

"Kajian juga mendapati puntung rokok daripada jenama rokok tidak sah penyumbang paling tinggi sebanyak 50 peratus," katanya.

Menurut Mohd Anuar lagi, walaupun kawasan berkenaan adalah kawasan zon sifar sampah yang dikuatkuasakan oleh pihak MPK, namun perokok masih berdegil dengan membuang puntung rokok merata-rata.

"Berdasarkan kajian ini, ia akan dapat memberi justifikasi kepada pihak kita dalam usaha menjadikan kawasan ini sebagai zon larangan merokok sepenuhnya.

"Kawasan ini bukan sahaja kawasan tumpuan awam bagi perniagaan pasar malam dan pasar minggu malah ia juga pusat aktiviti utama kecergasan, taman permainan kanak-kanak, perpustakaan awam dan pusat segala aktiviti atau karnival awam," katanya.

Laksana kempen, aktiviti pendidikan kesihatan

Sehubungan itu tegas Mohd Anuar, pelbagai kempen dan aktiviti pendidikan kesihatan akan dijalankan kepada orang ramai sebelum penguatkuasaan dijalankan selepas kawasan berkenaan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok kelak.

Namun begitu katanya, aktiviti penguatkuasaan di kawasan taman awam di daerah ini yang telah dikuat kuasa akan dijalankan seperti biasa.

Katanya, perlaksanaan Zon Bebas Asap Rokok bertujuan memberi perlindungan dan hak kepada mereka yang tidak merokok yang datang ke kawasan tersebut seperti wanita mengandung, bayi dan kanak-kanak, orang tua yang mempunyai penyakit kronik serta orang ramai daripada terdedah kepada kesan asap rokok pasif.