Polis pantau 24,783 pelajar Kelantan

Abdullah (kiri) meletakkan alat memeriksa suhu badan pada dahi pelajar sebelum membenarkan mereka masuk ke kelas bagi mengikuti sesi pembelajaran ketika fasa PKPP yang bermula hari ini.
Abdullah (kiri) meletakkan alat memeriksa suhu badan pada dahi pelajar sebelum membenarkan mereka masuk ke kelas bagi mengikuti sesi pembelajaran ketika fasa PKPP yang bermula hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 200 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertugas memantau kelancaran sesi persekolahan 24,783 pelajar di 177 sekolah menengah yang bermula hari ini.

Jumlah itu membabitkan 3,911 pelajar Tingkatan Enam dan 20,872 Tingkatan Lima.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dua atau lebih pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas akan bertugas melakukan pemantauan berkenaan.

Beliau berkata, PPS PDRM akan membantu guru memastikan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19) dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Polis akan berada di sekolah dari masa ke masa antara jam 7.30 pagi dan 2 petang bagi memastikan pematuhan SOP,” katanya selepas mengadakan Lawatan Pada Hari Pertama Sesi Persekolahan PKPP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd Zamri Abdul Aziz.

Beliau berkata, penugasan turut membabitkan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

“Setakat ini, pelajar dan guru mengikut garis panduan dengan hadir ke sekolah masing-masing memakai penutup hidung dan mulut, membuat saringan suhu serta mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Kompleks Sekolah-sekolah Wakaf Mek Zainab di sini mendapati pelajar tiba ke sekolah selepas dihantar ibu bapa masing-masing seawal jam 7 pagi.

Mereka memasuki kawasan sekolah dalam keadaan teratur dengan memakai penutup hidung dan mulut serta beratur untuk pemeriksaan suhu badan selain menggunakan pembasmi kuman.

Seorang bapa, Fauzi Mahmood, 57, berkata, dia meletakkan harapan dan kepercayaan penuh kepada sekolah sepanjang anaknya berada di sekolah.

“Saya percaya pihak sekolah akan berusaha memastikan keselamatan pelajar terjamin dengan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada guru dan pengurusan sekolah dalam usaha dan semangat yang jitu bagi memastikan pelaksanaan SOP ini dapat dilakukan dengan baik,” katanya.