Perak benar wanita solat sunat Aidiladha berjemaah

Bilangan jemaah pula bergantung kepada had kapasiti keluasan ruang utama dewan solat dengan jarak satu meter. - Foto Bernama
Bilangan jemaah pula bergantung kepada had kapasiti keluasan ruang utama dewan solat dengan jarak satu meter. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jemaah wanita dibenar menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau di seluruh Perak pada 31 Julai ini tetapi perlu ditemani mahram.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Menurutnya, bilangan jemaah pula bergantung kepada had kapasiti keluasan ruang utama dewan solat dengan jarak satu meter.

"Selain itu, memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada Jumaat dan selaras dengan ketetapan kerajaan, solat Jumaat wajib dilaksanakan pada hari yang sama," katanya.

Beliau berkata, hanya warganegara sahaja dibenarkan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan solat Jumaat dan kehadiran perlu direkodkan.

Mengenai ibadah korban pula, Shahrul Azam berkata, hanya ibadah korban yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid dan surau dibenar dilaksanakan bermula 31 Julai sehingga 3 Ogos 2020.

Menurutnya, lokasi ibadah korban hanya boleh dilaksanakan di kawasan halaman masjid dan surau.

"Mereka yang mempunyai kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sahaja dibenarkan melakukan ibadah korban.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan satu garis panduan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan aktiviti ibadah korban kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri ini.

Jelasnya, pihak JAIPk juga akan menyelia dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi.