X

Kindly register in order to view this article
!

PICOMS, Agrobank lancar tabung wakaf hemodialisis

Dr Wan Mohd Azizi (tiga dari kiri) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Taufik (dua dari kanan) yang disaksikan Dr Zulkifli (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Tabung Wakaf Tunai PHMP di Dewan Besar PICOMS dekat Kuala Lumpur semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS dan Agrobank melancarkan projek wakaf tunai bagi pembelian mesin dialisis untuk kegunaan di Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-PICOMS (PHMP), di sini semalam.

Naib Canselor PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, sehingga kini PHMP mempunyai tiga cawangan iaitu di Kampus PICOMS, Batu Muda, Cawangan Cheras dan Cawangan Jalan Pahang di Kuala Lumpur.

Menurutnya, secara keseluruhan PHMP mampu menempatkan seramai 234 pesakit dialisis dalam satu-satu masa dengan majoritinya adalah golongan asnaf yang mendapat tajaan daripada pihak Baitulmal dan organisasi-organisasi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pusat Zakat Selangor.

“PICOMS turut berterima kasih kepada pihak Agrobank yang sudi menyalurkan dana sebanyak RM600,000 melalui dana khairat produk Agrobank sebagai suntikan dan pemangkin untuk wakaf ini.

“Dana tersebut akan digunakan untuk membeli 10 mesin dialisis dan tambahan sebanyak lima mesin dialisis, hasil kutipan wakaf tunai daripada orang ramai bagi menggantikan mesin dialisis dan peralatan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tabung Wakaf Tunai PHMP dan Pelancaran Program Profesional Tahfiz PICOMS yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Besar PICOMS di sini.

Hadir sama, Pengerusi PICOMS, Profesor Dr Abdul Latif Mohamed; Ketua Pegawai Strategik Agrobank, Taufik Mahamad Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Akbar Samon dan Ketua Eksekutif CIDB Holding, Supian Musa.

Mengulas lanjut, Dr Wan Mohd Azizi berkata, PICOMS juga telah menerima watikah pelantikan sebagai Mutawalli oleh MAIWP pada 18 Jun lalu bagi pelaksanaan Wakaf Pendidikan MAIWP, sekali gus melayakkan PICOMS mengendalikan Tabung Wakaf Pusat Hemodialisis.

Menurutnya, PICOMS turut merancang untuk melaksanakan pelbagai program berasaskan wakaf melibatkan wakaf tunai dan wakaf harta alih yang akan menjadi sumber kepada aktiviti social fund raising kendalian PICOMS.

“Kami juga berhasrat untuk mencapai status Wakaf Universiti dan sebagai salah satu langkah permulaan, PICOMS telah melancarkan penubuhan Pusat Wakaf MyRahmah pada 31 Julai lalu bagi mengembangkan kebolehupayaan mekanisme wakaf berasaskan harta alih,” kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!