687 mangsa banjir di Johor ditempatkan di 14 PPS

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Muar, Batu Pahat dan Pontian tidak banyak berubah dengan seramai 687 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 731 orang, petang tadi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R.Vidyananthan berkata, setakat 8 malam, jumlah berkenaan membabitkan 176 keluarga berada di 14 PPS.

“Seramai 281 orang daripada 80 keluarga masih berada di lima PPS di Muar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, SK Parit Bulat serta SK Seri Menanti berbanding 316 orang daripada 86 keluarga petang tadi.

“Di Batu Pahat pula, seramai 205 orang daripada 44 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Vidyananthan berkata, di Pontian, seramai 201 orang daripada 52 keluarga masih berada di enam PPS iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Kampung Melayu Raya, SK Agama Parit Sikom, SK Belokok serta SK Penerok.

Beliau berkata, PPS SK Agama Parit Sikom mula dibuka pada 5 petang tadi, SK Belokok pada 6 petang dan diikuti SK Penerok, 7 malam tadi.

Banjir di beberapa daerah di Johor berlaku sejak Sabtu lepas apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa ditambah fenomena air pasang.- Bernama

Artikel Berkaitan: