Berkempen cara normal baharu

Tengku Zainul Hisham pula menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi dalam berkempen.
Tengku Zainul Hisham pula menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi dalam berkempen.
A
A
A

KUANTAN - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sudah memasuki hari keempat semalam dengan menyaksikan tiga calon yang bertanding masing-masing sibuk memancing undi untuk meraih sokongan.

Meskipun negara masih berdepan dengan ancaman wabak koronavirus (Covid-19) dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PRK DUN Chini tetap berjalan lancar walaupun dalam suasana normal baharu.

Jika dahulu, pelbagai kaedah kempen digunakan jentera parti bertanding untuk menambat hati pengundi seperti perang poster, bendera, risalah dan kempen kelompok, namun kini situasi itu tidak kelihatan lagi.

Suasana meriah dengan calon bertemu pengundi, beramah mesra dan bersalaman di samping jentera daripada parti masing-masing juga sibuk dengan strategi kempen, semua itu terpaksa dikurangkan berikutan penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminda beberapa SOP bagi membenarkan calon dan parti yang bertanding menjalankan aktiviti berkempen, ceramah, tinjauan atau walkabout dari rumah ke rumah.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan, kelonggaran itu diberikan selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun dengan syarat perlu menjaga penjarakkan sosial.

Pengenalan SOP khas itu menyebabkan ketiga-tiga calon terpaksa berkempen menggunakan pendekatan lebih sederhana bagi menyantuni para pengundi.

Dalam usaha menghangatkan suasana kempen dalam situasi berbeza ini, calon dilihat mempunyai cara tersendiri untuk berkempen dan pada masa sama mematuhi SOP yang ditetapkan.Bersemuka

Artikel Berkaitan:

Bagi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, beliau berkempen bertemu pengundi secara bersemuka dengan menyantuni mereka di tempat awam dan dari rumah ke rumah.

Jelasnya, jentera parti terpaksa mengubah dan menambah baik jadual kempen agar selari dengan kehendak SOP SPR dan MKN.

“Chini berada di zon hijau, tetapi pematuhan SOP tetap dilakukan dengan membuat kawalan seperti mengambil suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman (sanitizer) serta menyediakan pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, juga mengakui kekok dengan cara kempen normal baharu itu.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan SOP berkempen yang ditetapkan SPR akan dipatuhi dan beliau cuba membiasakan diri dengan peraturan baharu itu.

Mohd Shukri memilih untuk berkempen secara dalam talian untuk meraih undi pengundi di DUN Chini
Mohd Shukri memilih untuk berkempen secara dalam talian untuk meraih undi pengundi di DUN Chini

“Mula-mula janggal sikit kerana tidak biasa, tetapi selepas empat hari berkempen, saya berpendapat ia perlu dipatuhi demi kebaikan diri sendiri dan masyarakat di sini.

“Alhamdulillah, setakat ini pematuhan SOP adalah baik walaupun kadangkala terlupa juga yang kita perlu mengikutnya, terutama dalam menjaga penjarakkan sosial,” kata beliau.Kempen dalam talian

Namun, berbeza pula dengan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang masih tidak kelihatan turun padang bertemu pengundi.

Ramai yang mendakwa tindakan calon itu seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk berlawan dengan dua calon lain dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Bagaimanapun, Mohd Shukri menjelaskan, beliau berkempen menerusi ceramah secara dalam talian sebagai platform mendekati pengundi Chini.

Beliau menggunakan platform secara atas talian kerana mempunyai kepakaran sebagai blogger dan giat memuat naik video siaran langsung mengenai isu rakyat.

“Saya akan berceramah dan berkempen dalam talian sahaja. Ini kepakaran saya dan saya mempunyai pengikut yang boleh membantu tularkan segala isu yang akan dibawakan saya menerusi siaran radio dalam talian dan laman sosial Facebook menggunakan nama CMKFM.

“Jadi, saya tidak ada masalah untuk mematuhi SOP ini. Mungkin normal baharu ini menyebabkan orang lain mengalami kesukaran, tetapi saya sudah biasa menggunakan platform ini,” katanya.

Malah, beliau yakin kaedah itu amat berkesan pada ketika ini dan sekurang-kurangnya mampu menarik pengundi muda untuk mengundinya.

Bagaimanapun, apa sahaja kaedah yang diguna pakai oleh calon-calon PRK Chini, faktor paling utama ialah bagaimana mereka hendak memastikan kempen itu dapat memenangi hati pengundi.

Walaupun terpaksa berkempen dalam cara normal baharu, namun semua calon perlu kreatif dalam menarik pengundi.

Mohd Shahrim juga menggunakan pendekatan bersemuka dalam berkempen.
Mohd Shahrim juga menggunakan pendekatan bersemuka dalam berkempen.