Kalau anda Menteri Pendidikan

A
A

KALAU anda bukan seorang Muslim atau Kristian yang berpegang kukuh pada agama tetapi hanya menganggap agama itu sekadar candu seperti kata Karl Marx, maka sudah tentu anda tidak rasa bersalah untuk ketepikan semua istilah keagamaan seperti "dakwah" atau "missionari", "Islamisasi" atau "Kristianisasi", dalam wacana anda sebagai Menteri Pendidikan.

Anda akan anggap agama sebagai penghalang minda progresif. Anda andaikan bahawa ajaran agama Kristian atau Islam sudah tidak relevan lagi pada zaman moden ini. Kalau anda adalah Menteri Pendidikan, anda akan berusaha ketepikan atau buang agama terus dari silibus pendidikan.

Sikap anda yang fobia agama ini sebenarnya tidak ada beza pada prinsipnya dengan Ateis walaupun anda dakwa bahawa anda beriman kepada Gospel atau al-Quran. Seperti Ateis, anda andaikan bahawa ajaran Tuhan sudah ketinggalan zaman.

Seperti Ateis, agama bagi anda hanya wujud dalam dimensi psikologi peribadi. Agama tidak realistik di dunia material. Sebagai Menteri Pendidikan, anda rasa bahawa anda lebih bijak dan lebih relevan daripada Jesus atau Nabi Muhammad dalam melahirkan insan yang berjaya di dunia material.

Tapi bezanya anda dengan Ateis ialah wujudnya konflik identiti dalam diri anda kerana masih rasa bahawa anda beriman pada Jesus atau Nabi Muhammad SAW walaupun anda rasa lebih bijak daripada mereka! Persoalannya adakah Menteri Pendidikan seperti anda yang sedang mengalami konflik identiti layak melahirkan pelajar-pelajar yang waras?

Anda mungkin memberi alasan bahawa agama memecah-belahkan. Apa yang disebut sebagai "dakwah" atau "misionari" pasti akan melahirkan pelajar-pelajar yang fanatik kepada Islam atau Kristian sehingga memusuhi sesiapa yang tidak seagama. Maka, anda sebagai Menteri Pendidikan akan haramkan sebarang wacana yang berbau agama di sekolah.

Jelas pada prinsipnya, sekali lagi membuktikan bahawa mindset anda dengan Ateis adalah sama iaitu ajaran Tuhan tidak menyatukan manusia yang multibudaya. Ajaran Kristian atau Islam hanya menghasilkan permusuhan.

Maka anda dan Ateis sebenarnya sama-sama percaya bahawa manusia lebih objektif, tidak bias dan tidak rasis dalam menyelesaikan permusuhan antara penganut-penganut pelbagai agama.

Persoalannya ialah adakah ajaran liberalisme atau sosialisme berjaya menyatukan? Apakah punca perang dunia pertama dan kedua? Adakah komunis atau Hitler itu berpegang pada ajaran Tuhan atau manusia? Adakah kapitalisme tidak melacurkan wanita dan kanak-kanak?

Persoalan yang lebih penting ialah mengapa anda yang mengaku Muslim atau Kristian bersifat begitu hipokrit sekali? Sekurang-kurangnya Ateis menolak agama dan ketuhanan secara mutlak dengan jujur!

Pada satu masa, anda dakwa menghormati agama Islam atau Kristian. Tetapi pada masa lain, menghina agama anda dengan menyindir dan menuduh ajaran agama anda melahirkan rasisme, fanatisme dan terorisme! Kalau anda adalah Menteri Pendidikan, adakah anda akan tanamkan pada minda pelajar bahawa agama itu tidak melahirkan manusia bertamadun?

Dalam subjek Sejarah di sekolah, adakah anda akan arahkan Kementerian Pendidikan untuk menulis balik sejarah Tamadun Abbasiyah, Andalusia, India, China, Roma bahawa pembangunan tamadun di sana tiada kaitan langsung dengan agama? Bukankah ini juga "indoktrinasi" yang bersifat "rasis terhadap agama" sebenarnya?

Persoalan yang paling utama ialah berkenaan Rukun Negara Malaysia. Rukun yang pertama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. Kalau anda sebagai Menteri Pendidikan, tidak kira anda menganut agama mana pun, amanah anda yang pertama ialah mendidik pelajar untuk percaya pada Tuhan.

Sebagai bangsa Malaysia, kita yakin bahawa rakyat Malaysia yang multibudaya boleh disatukan di bawah rukun yang pertama ini. Anda sebagai Menteri Pendidikan yang setia pada rukun ini haram meniru mindset Ateis.

Kita memohon Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan semua penganut dari pelbagai agama agar memperkasakan wacana ketuhanan dan keagamaan dalam pendidikan. Bangsa Malaysia perlu lawan fobia agama dan sensitiviti sekular yang tidak rasional.

Pelajar Kristian perlu ditanam semangat misionari dan pelajar Muslim perlu ditanam kesedaran dakwah. Mereka perlu difahamkan bahawa misionari dan dakwah adalah panggilan Rukun Negara ke arah memperkasakan identiti bangsa Malaysia yang percaya pada Tuhan.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.