Pemergian Subky Abdul Latif kehilangan besar Pas

Anak lelaki Abdul Latif Ahmad Subki (hadapan) mengimamkan bacaan doa selepas solat jenazah ayahnya yang juga Pengerusi Veteran Pas dan Pengasas Harakah, Allahyarham Ahmad Subki Abdul Latif di Masjid Bilal Bin Rabbah hari ini.
Anak lelaki Abdul Latif Ahmad Subki (hadapan) mengimamkan bacaan doa selepas solat jenazah ayahnya yang juga Pengerusi Veteran Pas dan Pengasas Harakah, Allahyarham Ahmad Subki Abdul Latif di Masjid Bilal Bin Rabbah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemergian Pengerusi Veteran Pas dan pengasas akhbar rasmi Pas, Harakah, Ahmad Subki Abdul Latif atau lebih dikenali Subky Abdul Latif disifatkan sebagai satu kehilangan sangat besar kepada parti itu.

Menzahirkan kesedihan atas pemergian Allahyarham, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tokoh politik itu antara individu yang hebat dan banyak berjasa kepada parti tersebut.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, Allahyarham yang mesra disapa Pak Subki amat dihormati dan sering menjadi rujukan ahli parti kerana sangat berpengetahuan dalam sejarah perjuangan parti, selain memberi sumbangan besar dalam bidang penulisan.

"Bagi kami kehilangan Pak Subki ini macam kehilangan memori sejarah yang sangat penting. Setiap kali bertemu beliau akan bercerita sejarah perjuangan parti.

“Beliau merupakan orang yang sangat berpengaruh dan kita lihat sumbangan beliau ini mudah-mudahan dapat disambung oleh generasi kini dan akan datang," katanya kepada pemberita di Masjid Bilal Bin Rabbah di Taman Koperasi Polis Fasa 1 di sini selepas menunaikan solat jenazah terhadap Allahyarham.

Bagi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula, Ahmad Subki merupakan susuk politik yang sangat dihormati, baik oleh pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, Allahyarham seorang tokoh wartawan yang terkenal dengan idea berwawasan, malah Allahyarham sentiasa bersemangat dalam memberikan pandangan serta idea untuk Pas, walaupun ketika dirinya agak uzur.

"Kita memang ada mesyuarat dengan arwah di peringkat pusat kira-kira sebulan yang lalu dan walaupun beliau uzur tetapi sentiasa bersemangat dalam memberikan pandangan dan idea.

Artikel Berkaitan:

"Itulah Subkhi Abdul Latif. Seorang yang tak pernah kenal erti penat dalam perjuangan sampai di usia yang lanjut pun masih aktif dalam parti," kata Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tokoh wartawan Subky Latif meninggal dunia

Presiden Pas ucap takziah kepada keluarga Subky Abdul Latif

Ahmad Subki, 80, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak pada 11.05 pagi tadi akibat myelodyplastic syndrome (MDS) atau pre-leukemia iaitu sejenis penyakit berkaitan darah.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada kira-kira 6 petang tadi di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Selasih, Batu Cave.- Bernama